'Laluan MRT3 melalui Bukit Gasing tidak masuk akal' - Maria Chin

Maria Chin menegaskan pembangunan MRT3 mesti mampan dan harus mempertimbangkan kesan sosial, ekonomi dan alam sekitar terhadap kehidupan rakyat. (Gambar kecil : Kenyataan Maria Chin Abdullah)
Maria Chin menegaskan pembangunan MRT3 mesti mampan dan harus mempertimbangkan kesan sosial, ekonomi dan alam sekitar terhadap kehidupan rakyat. (Gambar kecil : Kenyataan Maria Chin Abdullah)
A
A
A

PETALING JAYA - Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menafikan dakwaan bahawa beliau menentang rancangan projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Berkapasiti Tinggi 3 (MRT3) di bawa ke kawasan Parlimen beliau.

Ini berikutan kebimbangan yang dibangkitkan oleh orang ramai mengenai cadangan MRT3 merentasi Bukit Gasing yang sudah dibatalkan.

Maria berkata, beliau tidak bersetuju dengan laluan awal yang dicadangkan iaitu di bawah tanah di bawah Hutan Simpan Bukit Gasing dari Pantai Hillpark kerana disifatkan mempunyai risiko menjejaskan hutan simpan itu.

"Pertama sekali, saya sememangnya bersetuju dan menyokong keperluan untuk menyediakan lebih pengangkutan awam serta meningkatkan sistem tersebut bukan sahaja di Petaling Jaya tetapi di seluruh negara, terutamanya di kawasan berpenduduk padat dan berpendapatan rendah kerana ini membolehkan akses dan mobiliti yang lebih besar.

"Namun, saya sentiasa menegaskan bahawa apa jua pembangunan, sama ada berkaitan dengan bangunan, pengangkutan atau kediaman, mesti mampan dan harus mempertimbangkan kesan sosial, ekonomi dan alam sekitar terhadap kehidupan rakyat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau menambah, pihak pemaju telah membuat keputusan bahawa laluan MRT3 tidak akan melalui Bukit Gasing tetapi akan terus menghubungkan Pantai ke Universiti Malaya, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan seterusnya ke Bukit Kiara untuk melengkapkan laluan lingkaran mereka.

Ini berikutan bantahan penduduk menerusi Persatuan Penduduk Seksyen 5 PJ (RA5PJ), Persatuan Penduduk Seksyen 10 (S10RA), Gabungan Gasing (yang menyelaras aktiviti lebih 12 kumpulan penduduk di kawasan itu) dan Kelab Sahabat Bukit Gasing (FOBG).

"Kebimbangan yang dibangkitkan penduduk adalah sah. Mengapakah stesen pertukaran yang begitu penting terletak di kawasan perumahan berkepadatan rendah dan sunyi berbanding pusat Petaling Jaya iaitu kawasan pembangunan berkepadatan tinggi?

"Apakah keperluan memusnahkan hutan simpanan Bukit Gasing apabila laluan alternatif boleh dipertimbangkan," soalnya.

Katanya, cadangan alternatif telah dikemukakan, termasuk daripada pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk memperuntukkan laluan menerusi kawasan lebih padat penduduk seperti Petaling Jaya Selatan (PJS) dan hab pengangkutan Petaling Jaya Sentral.

Ini kerana menurutnya, kawasan berkenaan merupakan tempat yang amat memerlukan sistem pengangkutan awam yang lebih baik.

"MBPJ sendiri juga telah menawarkan untuk membantu pembangunan untuk menjajarkan semula laluan ke PJS dan dari PJS ke PJ Sentral.

"Ini akan memudahkan orang ramai pergi ke tempat kerja, hospital di PPUM, kedai, institusi pendidikan, pusat perniagaan dan banyak lagi kemudahan di sekitar Petaling Jaya dan dalam jangka panjang ini akan membantu mengurangkan trafik," katanya.

Sehubungan itu, katanya, cadangan laluan awal MRT3 melalui Bukit Gasing adalah tidak masuk akal kerana kawasan perumahan tersebut tidak berpenduduk tinggi dan kurang menghadapi isu mobiliti.

"Di samping itu, kemusnahan satu lagi hutan simpanan untuk MRT3 adalah satu kos yang terlalu tinggi untuk dibayar.

"Saya sendiri berjumpa dengan pemaju dan mencadangkan kemungkinan menjadikan keseluruhan laluan MRT3 tersebut sebagai sistem bawah tanah (underground) memandangkan sebahagian laluan Bukit Gasing telah pun dicadangkan sebagai laluan bawah tanah.

"Terowong pintar SMART (Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir) adalah satu contoh di mana kita sudah pun mempunyai teknologi dan pengetahuan, dan kita boleh membina kereta api di bawah tanah agar mengurangkan kesan ke atas sosial, ekonomi dan alam sekitar.

"Pada 'penghujung hari', cadangan-cadangan dan bantahan-bantahan ini tidak dipertimbangkan dan pemaju memilih penyelesaian yang berbeza.

"Dalam sebarang pembangunan, mesti ada cara yang lebih baik untuk memastikan bangunan atau pengangkutan dibina secara lebih mampan tetapi pemaju nampaknya tidak mahu menyesuaikan diri dengan pembangunan yang lebih berorientasikan rakyat," katanya.

Projek MRT3 dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) namun disambung semula apabila kerajaan Perikatan Nasional bersetuju untuk meneruskan projek berkenaan.

Projek itu bertujuan untuk menghubungkan MRT1 yang telah siap dari Sungai Buloh ke Kajang dengan MRT2 yang sedang dibina dari Sungai Buloh ke Putrajaya.