Tiga rumah rosak akibat letupan di Taman Cenderawasih

Anggota bomba memeriksa keadaan rumah yang terbabit dalam kejadian itu.
Anggota bomba memeriksa keadaan rumah yang terbabit dalam kejadian itu.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Tiga buah rumah rosak selepas berlaku letupan yang dipercayai berpunca daripada kebocoran gas dalam kejadian di Taman Cenderawasih, di sini pada malam Ahad.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.57 malam sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba pihaknya mendapati sebahagian dinding rumah yang terlibat runtuh berikutan letupan yang berpunca dari sebuah rumah di taman terbabit.

Kesan kerosakkan akibat letupan yang berlaku pada malam Ahad.
Kesan kerosakkan akibat letupan yang berlaku pada malam Ahad.

Beliau berkata, tiga buah rumah yang masing-masing berkeluasan kira-kira 74 meter persegi mengalami kesan kemusnahan pada beberapa bahagian.

"Kesan itu seakan terkena bahan letupan di bahagian bumbung dan struktur dinding rumah yang berkemungkinan berpunca daripada kebocoran gas memasak.

"Peratusan kemusnahan pada rumah yang terlibat dianggarkan kira-kira 10 peratus dan 70 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan Negeri, Phee Boon Poh memaklumkan sekurang-kurangnya lima penghuni dilaporkan mengalami kecederaan termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun berada dalam keadaan kritikal akibat kejadian itu.

"Mereka yang cedera kini masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang,"katanya.