Juruterbang gagal patuhi pelan penerbangan ketika ambil nasi ganja

Mohamed Raffe (depan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin atas pertuduhan gagal mematuhi pelan penerbangan ketika mendaratkan helikopter bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja, tahun lalu.
Mohamed Raffe (depan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin atas pertuduhan gagal mematuhi pelan penerbangan ketika mendaratkan helikopter bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja, tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang juruterbang bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin atas pertuduhan gagal mematuhi pelan penerbangan ketika mendaratkan helikopter di lokasi selain daripada aerodrome yang ditetapkan, tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Mohamed Raffe K Chekku, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melanggar kaedah-kaedah udara seperti yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Penerbangan Awam dalam 'Civil Aviation Directive 2 - Rules Of The Air' di bawah Chapter 3 iaitu tidak mematuhi pelan penerbangan yang dikemukakan apabila telah membuat pendaratan sebuah pesawat jenis Bell 505 No pendaftaran 9M-RCI di lokasi lain selain aerodrome yang dinyatakan dalam pelan penerbangan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan Padang Ipoh, Jalan Tun Sambanthan kira-kira jam 9.50 pagi hingga 10 pagi pada 23 Julai 2021.

Beliau didakwa di bawah Peraturan 77(2) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 206(3)(a) Peraturan yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J Jean Sharmila manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Dr Baljit Singh Sidhu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Media melaporkan helikopter dikendalikan Syarikat Systematic Aviation Services Sdn Bhd (SAS) itu mendarat di padang Ipoh bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi kandar.

Tempahan itu difahamkan dibuat oleh pelanggan dari Kuala Lumpur di sebuah restoran nasi kandar terkemuka di bandar raya ini yang lebih dikenali sebagai nasi ganja.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid sebelum ini mengesahkan bahawa helikopter tersebut mempunyai kebenaran mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh.

Bagaimanapun, surat kebenaran berkenaan adalah bagi keperluan penyelenggaraan pesawat (aircraft maintenance) untuk penerbangan dari Subang ke Ipoh.