Kalau kena saman, jangan lupa bayar

Setakat Sabtu, sejumlah 257,808 saman dikeluarkan ke atas pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan trafik. - Gambar hiasan
Setakat Sabtu, sejumlah 257,808 saman dikeluarkan ke atas pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan trafik. - Gambar hiasan
A
A
A

HARI ini masuk hari kelapan umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri. Sambutan kali ini diraikan dengan begitu meriah apabila warga kota mengambil kesempatan pulang ke kampung halaman setelah dua tahun ‘terbelenggu’ akibat penularan Covid-19.

Dilaporkan lebih empat juta kenderaan memenuhi lebuh raya utama ketika sambutan hari raya tahun ini.

Di sebalik kemeriahan jalan-jalan di Malaysia, jumlah saman yang dikeluarkan pihak berkuasa turut menunjukkan peningkatan luar biasa. Setakat Khamis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan sebanyak 35,618 kesalahan memandu melebihi had laju melalui kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dalam Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA).

Sepanjang tempoh itu, sebanyak 4.7 juta kenderaan telah dikesan dan direkodkan melalui kamera AWAS di lebuh raya di seluruh negara sepanjang tujuh hari operasi bermula 29 April lalu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, sebanyak 1.5 juta kenderaan telah melalui kamera AWAS di lampu isyarat dengan 10,355 kenderaan direkodkan melanggar lampu isyarat merah.

Kesalahan tidak mematuhi had laju dan melanggar lampu isyarat melalui kamera AWAS merupakan antara lima kesalahan utama dalam tempoh Ops HRA 2022 yang akan dihadapkan ke mahkamah dan tidak boleh dikompaun.

Sekiranya disabitkan, boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 di bawah Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengguna jalan raya yang melakukan kedua-dua kesalahan ini (melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah) juga akan direkodkan dengan tindakan sehingga empat mata demerit berjadual di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) bagi setiap kesalahan mengikut Subseksyen 40(1) atau Subseksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan. Sistem mata demerit ini memberi kesan kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain memaklumkan, setakat Sabtu, sejumlah 257,808 saman dikeluarkan ke atas pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan trafik.

Daripada jumlah itu, sebanyak 194,445 saman dikeluarkan atas kesalahan utama iaitu memotong barisan, memotong garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat merah, memandu melebihi had laju yang dibenarkan serta menggunakan alat telekomunikasi.

Motosikal rekod kematian tertinggi

Pada 1 Syawal lalu menyaksikan sebanyak 28 kematian akibat kemalangan jalan raya dicatat di seluruh negara.

Memetik laporan media, kemalangan maut membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal merekodkan jumlah tertinggi dengan 88 kematian dicatatkan di seluruh negara setakat Sabtu sejak Op Selamat 18 sempena Aidilfitri dilancarkan pada 29 April lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, kemalangan maut membabitkan pemandu dan penumpang kenderaan lain pula mencatatkan 44 kematian diikuti pejalan kaki dengan lapan kematian serta penunggang basikal (satu kematian).

Keseluruhan kes kematian sepanjang Op Selamat 18 ialah sebanyak 141 kematian dalam 135 kemalangan maut yang berlaku di jalan raya di seluruh negara.

Selain itu, polis secara keseluruhannya merekodkan sebanyak 12,985 kemalangan di seluruh negara sepanjang tempoh berkenaan.

Statistik kemalangan Op Selamat 18 meningkat berbanding tahun 2019 yang mencatatkan 12,500 kemalangan iaitu 128 daripadanya membabitkan kemalangan maut dengan 136 kematian.

Melihat kepada statistik tersebut, orang ramai tidak boleh memandang ringan, sebaliknya perlulah sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan menjadi pemandu berhemah.

Jangan disebabkan keghairahan kita hendak berhari raya, banyak nyawa yang terkorban.

Syabas kepada pengguna jalan raya yang mematuhi undang-undang walaupun terpaksa berdepan kesesakan luar biasa. Kepada pemandu yang dikenakan saman, jangan lupa bayar saman anda segera!

* Munirah Abdul Aziz ialah Penolong Penerbit Kandungan Berita Digital (Video)