'Terima kasih mak atas segala jasa yang dicurahkan...'

Ismail Sabri berkongsi ucapan Hari Ibu di Facebooknya pada Ahad sempena sambutan Hari Ibu.
Ismail Sabri berkongsi ucapan Hari Ibu di Facebooknya pada Ahad sempena sambutan Hari Ibu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bersempena Hari Ibu yang disambut pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan anak-anak agar memberi kasih sayang sepenuhnya kepada ibu semasa mereka masih ada.

Dalam catatan di Facebooknya, beliau yang mengucapkan Selamat Hari Ibu berkata jasa ibu tidak terbalas, dan wang ringgit bukan segala-galanya, tetapi kasih sayang dan perhatian memadai menjadi pengubat hati yang penuh kerinduan.

"Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia. Begitulah diumpamakan kehebatan seorang ibu dalam mencorak hidup anak supaya menjadi insan yang berguna dan berjasa dalam pembangunan negara," katanya.

Ismail Sabri Yaakob turut tidak ketinggalan mengimbau semula kenangan bersama arwah ibunya, Wan Jah Wan Mamat dalam mendidiknya menjadi seorang insan berguna.

Ismail Sabri berkata, ibunya banyak mencorak hidupnya agar dapat menjadi insan yang berbakti kepada seluruh Keluarga Malaysia dan mendidik beliau serta adik beradik dengan penuh kasih sayang.

"Kami anak kampung yang serba kekurangan dan arwah maklah yang menyempurna dan membahagiakan kami dengan cara mak yang tersendiri. Kelembutan dan keikhlasan arwah mak dalam membesarkan anak-anak dengan begitu tabah sekali.

"Terima kasih mak atas segala jasa yang dicurahkan... yang tidak mampu insan bergelar anak membalas jasa mak," katanya. - Bernama