Lelaki seludup 20 warga Myanmar guna van

Pendatang asing tanpa izin warganegara Myanmar yang dimuatkan dalam sebuah van. Van yang digunakan oleh suspek membawa muatan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Pasir Mas pada Ahad. - Foto ihsan PDRM
Pendatang asing tanpa izin warganegara Myanmar yang dimuatkan dalam sebuah van. Van yang digunakan oleh suspek membawa muatan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Pasir Mas pada Ahad. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

PASIR MAS - Tindakan seorang lelaki memecut van yang dinaiki 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) sejauh tujuh kilometer (km) bagi mengelak ditahan polis gagal apabila berjaya ditahan di Jalan Kampung Banggol Chicha, di sini, pada Ahad.

Suspek yang berusia 21 tahun tersebut ditahan bersama 17 lelaki dan tiga wanita warga Myanmar pada jam 6.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, dua anggota yang melaksanakan rondaan menggunakan Unit Kereta Peronda (MPV) di kawasan Pasir Mas terserempak dengan sebuah van jenis Era Komuter berwarna putih dalam keadaan mencurigakan di simpang tiga Kampung Lubuk Kawah, di sini.

“Anggota mengarahkan pemandu tersebut berhenti namun dia terus memecut sejauh kira-kira tujuh kilometer sebelum berhenti di tepi jalan Kampung Banggol Chicha, Pasir Mas.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu terbabit membawa 20 penumpang warga Myanmar,” katanya kepada pemberita, di sini, pada Ahad.

Ujarnya, semakan polis mendapati suspek yang memandu van berkenaan berasal dari Kampung Wakaf Aik, Tawang, Bachok.

“Suspek mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan tiga kesalahan jenayah dan empat kesalahan berkaitan dadah.

“Van yang digunakan dan sebuah telefon bimbit milik suspek yang memandu kenderaan itu dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka ditangkap dan akan dikenakan perintah reman di mahkamah untuk tindakan lanjut.

“Pemandu kenderaan tersebut ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun serta denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“PATI tersebut pula ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk ke Malaysia tanpa pas atau permit,” katanya.