Lelaki maut bot bertembung

Keadaan bot yang bertembung dalam kejadian di perairan Jeti Balimbang, Pulau Bum-Bum, Semporna.
Keadaan bot yang bertembung dalam kejadian di perairan Jeti Balimbang, Pulau Bum-Bum, Semporna.
A
A
A

SEMPORNA - Seorang lelaki maut selepas bot yang dinaiki bertembung dengan sebuah bot penumpang yang dinaiki tujuh individu dalam kejadian di perairan Jeti Balimbang, Pulau Bum-Bum, pada malam Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam itu, mangsa berusia 50 tahun terjatuh ke laut sebelum disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Semporna.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.31 malam.

"Laporan diterima daripada seorang pengadu memaklumkan bot tambang yang dinaikinya bersama penumpang lain berlanggar dengan sebuah bot kecil yang tidak berlampu.

"Akibat kejadian itu, bot kecil terbabit mengalami kerosakan pecah pada bahagian belakang manakala enjin jatuh ke dasar laut selain pemandu bot terbabit juga terjatuh ke laut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya lagi, mangsa berjaya diselamatkan hasil daripada tindakan pantas pengadu bersama penumpang bot berkenaan.

"Pengadu dan penumpang bertindak menarik mangsa ke dalam bot penambang dan seterusnya membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, selepas lebih sejam dirawat di wad kecemasan hospital, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya.

Tambah beliau lagi, hasil siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan lebam pada bahagian perut dan lengan kanan.

"Bertindak atas maklumat juga, satu tangkapan telah dibuat terhadap seorang lelaki yang juga juragan bot berusia 20 tahun untuk membantu siasatan dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Muhammad Nur Faez Hazreeq di talian 089781222 atau di balai polis berdekatan," katanya.

Sebelum itu, Mohd Farhan turut menasihatkan semua pemilik bot supaya berhati-hati ketika mengendalikan bot terutama di kawasan yang sibuk selain menyediakan peralatan keselamatan termasuk lampu dan jaket keselamatan.