Negeri Sembilan fokus pemulihan gelandangan sakit mental

Operasi baru-baru ini berjaya menyelamatkan 14 gelandangan di sekitar pusat bandar Seremban.
Operasi baru-baru ini berjaya menyelamatkan 14 gelandangan di sekitar pusat bandar Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan memberi fokus terhadap usaha pemulihan gelandangan terutama mereka yang mengalami penyakit mental supaya mereka mampu berdikari.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, usaha itu juga bagi membantu mereka mendapat pekerjaan yang baik.

"Kita akan menggunakan kepakaran perubatan dari unit psikiatri Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban bagi memulihkan gelandangan terlibat.

“Kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan beberapa agensi untuk mengadakan operasi bersepadu melibatkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), unit psikiatri HTJ, polis serta Majlis Bandaraya Seremban (MBS) secara berkala untuk menyelamatkan golongan ini daripada terus berkeliaran tanpa arah tujuan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam pada itu, Nicole mengakui adalah mustahil untuk mencapai sifar gelandangan berikutan ada di antara mereka bukannya dari negeri ini selain suasana negara yang masih berdepan dengan wabak Covid-19 serta membabitkan pelbagai masalah latar belakang.

Katanya, berdasarkan rekod seramai 92 gelandangan telah diselamatkan bermula Januari hingga Disember tahun lepas melibatkan 125 operasi.

"Daerah Seremban mencatatkan operasi menyelamat gelandangan paling banyak berbanding daerah lain iaitu 86 operasi dengan 62 individu berjaya diselamatkan.

"Tahun ini pula setakat Mac lalu seramai 25 gelandangan diselamatkan yang mana 23 daripadanya adalah dari kawasan Seremban dan bakinya di Port Dickson," katanya.

Nicole
Nicole

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Nicole berkata, seramai 14 gelandangan berumur 29 hingga 76 tahun telah diselamatkan dalam operasi gelandangan di sekitar pusat bandar Seremban baru-baru ini bermula jam 11 malam hingga 1.30 pagi.

"Lebih menyedihkan apabila ada di antara mereka tidak mampu memberikan respon dengan baik dipercayai 'lalok' susulan terdapat bahan dan alat menghidu gam di lokasi mereka dijumpai.

"Semasa operasi dijalankan, ada gelandangan yang memberi kerjasama, ada juga yang bertindak ganas.

"Kebanyakan mereka berasal dari negeri ini, ia berdasarkan maklumat secara lisan yang kita peroleh selain menerusi kad pengenalan yang ditunjukkan," katanya.

Jelasnya, seramai 14 gelandangan lelaki berjaya diselamatkan, 13 daripadanya merupakan rakyat tempatan dan seorang lagi adalah pelarian Rohingya.

"Demografi gelandangan itu terdiri daripada golongan menghidu gam, mabuk dan tiada tempat tinggal.

"Pada hari yang sama, lapan gelandangan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan fizikal dan rawatan susulan, enam lagi gelandangan dihantar ke Rumah Minda Ceria iaitu mereka yang mental dan fizikalnya stabil," katanya.

Nicole berkata, dalam operasi tersebut, dua pasukan telah dibahagikan yang mana pasukan pertama bertolak dari Balai Polis Campbell seterusnya ke Jalan Seng Meng Lee, Pasar Besar Seremban, Jalan Lee Sam- Terminal One.

"Pasukan kedua bertolak dari Balai Polis Campbell-Jalan Dato Bandar Tunggal- KFC, Wisma Punca Emas-Stesen KTM- Terminal One membabitkan agensi lain antaranya polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), MBS dan unit psikiatri HTJS," katanya.