Dua beradik diberkas samun lelaki di Damansara Perdana

Laporan Sinar Harian hari ini
Laporan Sinar Harian hari ini
A
A
A

PETALING JAYA - Dua beradik diberkas dipercayai terlibat dalam kejadian samun melibatkan seorang lelaki dalam kejadian di Damansara Perdana di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kedua-dua suspek diberkas di kawasan Puncak Alam.

"Kedua-dua suspek yang diberkas merupakan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berumur 31 dan 24 tahun.

"Turut dirampas adalah beberapa barang kes yang dipercayai hasil samun termasuk sebuah kereta yang digunakan suspek ketika kejadian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai beberapa rekod lampau.

"Siasatan dijalankan mendapati suspek lelaki mempunyai empat rekod penyalahgunaan dadah dan 15 rekod jenayah.

"Selain itu suspek turut mempunyai dua rekod masih disenarai hitam bagi kes penyalahgunaan dadah serta masih dikehendaki polis manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod lampau," katanya.

Menurutnya, kedua suspek akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Petaling Jaya.

"Siasatan kes akan dijalankan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada Khamis, seorang lelaki cedera setelah terjatuh ketika cuba mengejar suspek yang bertindak menyamun mangsa dalam kejadian di Damansara Perdana di sini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang ketika mangsa sedang berjalan menuju ke arah keretanya yang diletakkan di lokasi kejadian.

Mangsa berumur 30 an itu telah melihat suspek menendang cermin kanan keretanya sehingga pecah dan mengambil beg mangsa yang mengandungi komputer riba dan barangan peribadi miliknya.

Mangsa kemudian cuba mengejar suspek dan berlakunya pergelutan, suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri menggunakan sebuah kereta.