Perak catat 144 kes HFMD

Gambar hiasan. - Foto kecil: Mohd Akmal
Gambar hiasan. - Foto kecil: Mohd Akmal
A
A
A

IPOH - Perak merekodkan sebanyak 144 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dengan kebanyakan penularan berlaku di tadika dan taska, setakat ini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, kes dikesan di daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk dengan peningkatan 7.5 kali ganda berbanding minggu epid sama tahun lalu yang hanya mencatatkan 17 kes.

"Sehingga kini, terdapat tujuh wabak HFMD telah diisytiharkan dengan enam daripadanya (86 peratus) berlaku di daerah Hilir Perak, manakala satu wabak (14 peratus) di daerah Bagan Datuk.

"Kebanyakan lokasi penularan wabak ini berlaku di tadika, taska dan prasekolah iaitu lima wabak (71 peratus) diikuti pusat jagaan kanak-kanak sebanyak dua wabak (29 peratus). Sementara itu, tiada wabak dilaporkan di rumah persendirian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, kes yang dilaporkan banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia sehingga enam tahun iaitu sebanyak 143 kes (99 peratus), manakala satu kes bagi kumpulan 7 hingga 12 tahun.

Bagaimanapun katanya, tiada kes dilaporkan bagi kumpulan usia melebihi 12 tahun.

"Majoriti kes wabak di dua daerah berkenaan dikesan berpunca daripada Pan-enterovirus.

"Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.

"Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah," katanya.

Mohd Akmal berkata, hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke 10 hari.

Justeru menurutnya, masyarakat terutama ibu bapa mempunyai anak kecil dinasihatkan untuk memastikan anak-anak bebas gejala HFMD sebelum mereka dihantar ke taska atau pusat bagi mengelak penularan kes.

"Ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak yang bergejala ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat beli-belah atau stesen bas.

"Selain itu, anak-anak yang mempunyai gejala jangkitan perlu dibawa ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut," katanya.