Pemandu bas lalok dikesan dalam Ops Hari Raya JPJ

Lokman (tengah) menjalankan pemeriksaan dalam Operasi Khas Teknikal JPJ di Terminal Bas Genting Highland sempena Ops Hari Raya Aidilfitri di sini pada Jumaat. Gambar kecil: Lokman
Lokman (tengah) menjalankan pemeriksaan dalam Operasi Khas Teknikal JPJ di Terminal Bas Genting Highland sempena Ops Hari Raya Aidilfitri di sini pada Jumaat. Gambar kecil: Lokman
A
A
A

GENTING HIGHLAND - Tidak bertanggungjawab malah merisikokan nyawa penumpang, itu antara tindakan tiga pemandu bas yang didapati berada di bawah pengaruh dadah menerusi Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) yang dilaksanakan seluruh negara sejak 29 April lalu.

Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia Datuk Lokman Jamaan berkata, JPJ tiga pemandu berkenaan diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut dan lesen mereka digantung serta-merta.

Menurut beliau, operasi dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna serta kelancaran aliran trafik.

"JPJ juga menjalankan pemantauan operasi penuh kenderaan perkhidmatan awam khususnya bas ekspres dan bas persiaran," katanya pada sidang akhbar selepas Operasi Khas Teknikal JPJ di Terminal Bas Genting Highland sempena Ops Hari Raya Aidilfitri di sini pada Jumaat

Katanya, ia selaras dengan fasa peralihan ke endemik dan sektor pelancongan menerima tempahan yang tinggi untuk menggunakan kenderaan awam.

Lokman turut memaklumkan, Ops Hari Raya Aidilfitri(HRA) bermula dengan fasa advokasi Pra Hari Raya pada 18 hingga 28 April 2022, 25 hingga 28 April 2022 dan ketika ini fasa kedua melibatkan penguatkuasaan penuh, mulai bermula 29 April 2022 hingga 8 Mei 2022.

"Sepanjang tempoh penguatkuasaan sebanyak 28 terminal bas 77 kenderaan itu diperiksa.

"Pemantauan bertujuan memastikan bas ekspres dan bas persiaran mematuhi piawaian operasi yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334)," jelasnya.

Selain itu katanya, sebanyak 44,737 kenderaan diperiksa dan 8,936 saman dikeluarkan sejak 29 April hingga 5 Mei lalu.

"Jumlah saman agak tinggi dan ini menunjukkan masih ramai pengguna jalan raya yang ingkar walaupun JPJ sentiasa mengingatkan mereka," katanya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, Terminal Bas Genting Highland dipilih sebagai lokasi operasi kerana menjadi tumpuan orang ramai untuk bercuti terutama ketika musim perayaan ini.

"Operasi juga bagi memastikan bas ekspres dan bas persiaran di laluan berbukit tinggi, curam dan jalan berselekoh mempunyai tahap piawaian yang selamat terutama sistem brek, tayar dan sebagainya.

"JPJ juga akan memantau tahap kepatuhan pemandu dan syarikat pengendali bas terhadap syarat lesen yang melibatkan syarat pemandu kedua, operasi kawasan yang dibenarkan dan kadar tambang yang dikenakan," katanya.

Tambah Lokman, tindakan kompaun dan saman ke atas pemandu dan pengendali bas boleh dikenakan di bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembuatan dan Penggunaan) 1959.

"Jika didapati bas beroperasi melanggar syarat lesen pengendali, tindakan penggantungan lesen pengendali boleh dikenakan ke atas pengusaha bas selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 62, Akta 715," katanya.