Putin didakwa minta maaf kepada PM Israel

 Vladimir Putin - Foto AFP
Vladimir Putin - Foto AFP
A
A
A

TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Naftali Bennet menerima permohonan maaf daripada Presiden Rusia, Vladimir Putin, lapor Moscow Times pada Khamis.

Permohonan maaf itu berikutan Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov menyatakan bahawa bekas pemimpin Jerman, Adolf Hitler mungkin mempunyai keturunan Yahudi.

Permohonan maaf itu dibuat semasa perbincangan telefon pada Khamis, kata Pejabat Perdana Menteri Israel.

"Perdana Menteri menerima permohonan maaf Presiden Putin atas kenyataan Lavrov dan berterima kasih kepadanya kerana menjelaskan sikapnya terhadap orang Yahudi dan ingatan Holocaust," kata pejabat Bennett dalam satu kenyataan seperti dilaporkan Moscow Times.

Holocaust ialah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada kejadian pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi semasa Perang Dunia Kedua.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan di Israel.

Bagaimanapun, kenyataan akhbar Kremlin tidak menyatakan permohonan maaf itu sebaliknya hanya mengenai kedua-dua pemimpin membincangkan kepentingan perayaan Hari Kemenangan yang akan disambut pada 9 Mei serta Perang Ukraine.

Hari Kemenangan itu merujuk kepada kejayaan Rusia menewaskan Nazi pada tahun 1945. - Agensi