Statut Rom dan kekebalan raja

A
A
A

KERAGUAN mengenai bidang kuasa Statut Rom telah dibangkitkan semula mutakhir ini. Statut Rom dikatakan bakal merampas kekebalan raja-raja Melayu dan bakal membahayakan kedudukan orang-orang Melayu dan Islam serta turut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Umumnya, saya tidak bersetuju dengan tuduhan-tuduhan ini. Pertama, Perlembagaan Persekutuan tidak menyentuh atau memberikan kekebalan atau imuniti di bawah undang-undang antarabangsa atau mana-mana perjanjian antarabangsa.

Kedua, konsep bahawa raja-raja kita mempunyai imuniti mutlak sudah menjadi suatu perkara yang telah lama berlalu. Pada tahun 1993, pindaan Perlembagaan telah dibuat untuk membenarkan prosiding jenayah dilakukan terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan raja-raja menerusi mahkamah khas.

Oleh itu, walaupun di dalam negara sendiri, YDPA dan raja-raja tidak mempunyai imuniti mutlak yang boleh melindungi mereka dan boleh dipertanggungjawabkan atas sebarang jenayah yang dilakukan. Dalam erti kata lain, imuniti diraja sudah tidak lagi wujud di Malaysia sejak 1993.

Ketiga, ICC hanya boleh mengambil tindakan jika negara tersebut enggan atau gagal untuk melakukan penyiasatan dan pendakwaan terhadap orang yang bertanggungjawab dengan jenayah tersebut. Oleh itu, Statut Rom hanya bersifat sebagai pelengkap kepada keadilan domestik dan tidak bertujuan untuk menggantikan atau mengatasi mana-mana agensi penyiasatan Malaysia dan mahkamah khas di Malaysia sekiranya seseorang raja terlibat.

Putera Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim mendakwa bahawa dengan menandatangani Statut Rom akan meletakkan Agong dalam risiko untuk diseret ke ICC. Baginda juga menyatakan pendapat baginda bahawa tiada siapa yang dikecualikan daripada tanggungjawab jenayah di bawah Statut Rom, dan status mereka sebagai raja tidak akan menghalang ICC daripada menjalankan bidang kuasanya.

Biarpun kita faham akan kegusaran ini, YDPA atau raja-raja tidak akan diseret ke ICC seandainya benar mereka ada melakukan jenayah antarabangsa yang termaktub dalam Statut Rom, jika Malaysia telah melakukan siasatan dan pendakwaan terlebih dahulu. Ini konsep utama yang perlu difahami.

Keempat, kebarangkalian untuk YDPA bertanggungjawab secara individu untuk jenayah perang agak tipis. Walaupun YDPA adalah Panglima Tertinggi Angkatan Tentera, namun sebagai raja berperlembagaan kuasa baginda amat terbatas.

Artikel Berkaitan:

Malah, YDPA tidak diberikan kuasa mutlak untuk mengisytiharkan perang, kerana baginda menjalankan tugasnya seperti yang disarankan oleh perdana menteri. Lantas, sekiranya ada berlaku sebarang jenayah antarabangsa, perdana menteri, Kabinet atau jeneral tentera yang akan bertanggungjawab secara langsung terhadap sebarang jenayah perang tersebut.

Statut Rom akan berkuat kuasa bermula 1 Jun 2019 ini. Biarpun diskusi mengenai isu ini masih begitu panas didebatkan, kerajaan tidak menunggu lama untuk menyertai Statut Rom. Malaysia, melalui Menteri Luar Negara, telah mendepositkan atau menyerahkan instrumen penyertaan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 4 Mac yang lalu.

Kita agak kurang faham kenapa mesti tindakan untuk menyertai Statut Rom ini dilakukan secara tergesa-gesa tanpa memberikan penjelasan penuh kepada Majlis Raja-Raja dan rakyat. Biarpun tindakan menyertai Statut Rom ini adalah tindakan yang bagus, namun pihak kerajaan seharusnya mengadakan konsultasi awam atau sekurang-kurangnya memberikan penjelasan kepada Majlis Raja-Raja mengenai status mereka dalam Statut Rom.

Jika penjelasan yang baik telah diberikan kepada Majlis Raja-Raja, sudah tentu tidak akan ada keluar sebarang kenyataan yang tidak sedap didengar daripada mana-mana keluarga diraja seperti mana yang berlaku hari ini.

Ingin saya tegaskan bahawa Statut Rom sebenarnya tidak bertentangan dengan Perlembagaan, tidak akan menjejaskan hak dan kedudukan Bumiputera dan Islam, serta tidak juga akan mencemar kemuliaan institusi diraja di negara ini.

Sebenarnya, Statut Rom, institusi diraja dan Perlembagaan boleh saling wujud dengan harmoni tanpa percanggahan antara satu sama lain. Malah, Malaysia turut boleh memainkan peranan penting dalam mencapai keamanan dan kesejahteraan dunia melalui komitmen yang wujud dalam Statut Rom ini.

* Penulis ialah seorang peguam