Penduduk Gaza beraya dalam keadaan berjaga-jaga

Penduduk di Genting Gaza, Palestin menunaikan solat sunat Aidilfitri di kawasan dataran awam pada Isnin lalu. - AFP
Penduduk di Genting Gaza, Palestin menunaikan solat sunat Aidilfitri di kawasan dataran awam pada Isnin lalu. - AFP
A
A
A

SHAH ALAM - Meskipun Palestin ketika ini separa aman, namun penduduk tetap dibelenggu kebimbangan apatah lagi peperangan yang berlaku pada tahun lepas masih belum tamat.

Aktivis kemanusiaan Malaysia yang menetap di Semenanjung Gaza, Palestin, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, kepimpinan Gaza sendiri pada Ahad mengumumkan bahawa serangan daripada rejim Zionis Israel boleh berlaku pada bila-bila masa.

MUHAMMAD NADIR
MUHAMMAD NADIR

“Raya tahun ini Alhamdulillah, Gaza berada dalam keadaan separa aman yang bermaksud tiada peperangan, tetapi bila-bila masa boleh berlaku serangan. “Alhamdulillah, tadi pagi kita dah keluar solat sunat Aidilfitri bersama-sama dan semua orang gembira,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi MyAqsa Defenders bersyukur kerana sambutan kali ini agak meriah berbanding tahun lalu di mana kebanyakannya tidak menyambut hari raya untuk mengenangkan ahli keluarga terkorban dalam serangan tentera Israel.

“Tahun ini, Alhamdulillah sebab serangan berlaku penghujung Ramadan, tetapi tidak berlanjutan. Penduduk khususnya kanak-kanak cuba menyambut raya sebaiknya.

“Mereka membeli pakaian raya, menziarahi keluarga dan bermain di jalan raya, namun sambutan di Gaza tidaklah semeriah di Malaysia.

“Kebiasaannya kaum lelaki yang menziarah, manakala wanita perlu duduk di rumah,” jelasnya.

Muhammad Nadir turut mengimbas kembali peperangan di Palestin pada tahun 2014 yang mengorbankan belasan kanak-kanak di sebuah taman permainan.

Katanya, peperangan itu berlaku sepanjang 10 Ramadan dan berlanjutan selama 51 hari.

“Pada hari raya pertama tahun itu, kanak-kanak keluar ke taman permainan kerana mereka nak lari daripada suasana peperangan.

“Tapi tiba-tiba kawasan tapak permainan tersebut dibom oleh roket Israel mengakibatkan belasan kanak-kanak syahid,” ujarnya dalam nada sayu.