Op Selamat: 5,127 saman dikeluarkan dalam tempoh 6 hari

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan telah mengeluarkan 5,127 saman membabitkan pelbagai kesalahan trafik sepanjang tempoh enam hari Op Selamat 18/2022 dijalankan bermula 29 April sehingga Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Negeri Sembilan, Superitendan Shafiei Muhammad berkata, jumlah saman itu direkodkan dalam 91 operasi yang dilaksanakan.

"Dalam tempoh itu sebanyak 479 kes kemalangan direkodkan berbanding 500 kes dalam Op Selamat 2019.

"Ia sekali gus menunjukkan penurunan sebanyak 21 kes dengan peratusan sebanyak 4.2 peratus," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, terdapat enam kes kemalangan maut membabitkan tujuh kematian direkodkan dalam tempoh sama berbanding lapan kes membabitkan sembilan kematian dalam Op Selamat 2019.

Selain itu katanya, jumlah kemalangan mengikut jenis jalan yang direkodkan juga menunjukkan penurunan tahun ini membabitkan 479 kes berbanding 500 kes pada 2019.

"Bagaimanapun jumlah kemalangan yang berlaku di Jalan Persekutuan dan Jalan Bandaran menunjukkan peningkatan.

" Bagi Jalan Persekutuan jumlah kemalangan adalah sebanyak 165 kes berbanding 129 kes pada Op Selamat 2019 manakala di Jalan Bandaran pula jumlah kemalangan melibatkan 132 kes berbanding (66) kes pada 2019," katanya

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 28 tangkapan atas pelbagai kesalahan direkodkan dalam tempoh enam hari Op Selamat 18/2022 dilaksanakan.