Tiga pintu ICQS sempadan Malaysia-Thai di Kelantan buka hari ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Tiga pintu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini mula dibuka hari ini bagi tujuan komersial dan lawatan sosial.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kelantan Azhar Abd Hamid berkata, tiga pintu ICQS tersebut ialah Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor.

Beliau berkata, individu yang ingin memasuki Thailand dan Malaysia perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kedua-dua negara tersebut.

"Semua pengembara sudah boleh masuk dan keluar melalui pintu sempadan bermula pagi ini mengikut SOP yang sudah ditetapkan.

"Selain itu, antara syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuklah pengembara dari Thailand perlu lengkap status vaksinasi dan menyediakan dokumen perjalanan yang lengkap," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Pada Rabu, Pengarah Imigresen Perlis Khairul Amin Taib berkata, pintu sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar turut dibuka pada Khamis (hari ini) bermula 6 pagi hingga 10 malam setiap hari. - Bernama