Sanggup berhutang, boros jadi punca pokai lepas raya

Setiausaha Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff
Setiausaha Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff
A
A
A

ALOR SETAR - Sikap boros dan sanggup berhutang demi berbelanja sakan semata-mata untuk memenuhi kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dikhuatiri menjadi punca pengguna pokai selepas raya.

Setiausaha Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya memahami ramai yang teruja memandangkan sudah dua tahun tidak beraya dengan keluarga.

Bagaimanapun, beliau bimbang ada pengguna sanggup berhutang dan berbelanja sakan melebihi kemampuan demi beraya tahun ini.

"Kawasan bandar termasuklah Alor Setar, Jitra, Sungai Petani dipenuhi kenderaan, sekali gus menunjukkan pengguna seolah-olah melepaskan geram berbelanja setelah dua tahun tidak menyambut dengan keluarga.

"Jadi, pada tahun ini kita nampak bahawa perbelanjaan pengguna agak tinggi untuk sambutan tahun ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mohamad Yusrizal berkata, ada pengguna berkemungkinan berbelanja menggunakan wang simpanan ataupun menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Tambah beliau, tidak dinafikan, ada pengguna hanya berbelanja ala kadar, namun dibimbangi ada yang sanggup berhutang semata-mata untuk beraya.

"Ada yang berhutang untuk berbelanja raya ini, yang mana ia adalah amalan tidak baik kepada pengguna memandangkan hutang dan berbelanja tinggi menyebabkan mereka tidak mampu lagi membayar hutang selepas sambutan hari raya ini," katanya.

Sehubungan itu katanya, Cake menasihatkan pengguna untuk berbelanja dengan berhemah dan tidak berbelanja secara berlebihan ketika meraikan Aidilfitri.

Dalam masa sama katanya, pengguna perlu berhati-hati dalam berbelanja dan memantau bajet masing-masing agar tidak kehabisan wang.