20,000 pengunjung hadir rumah terbuka Parlimen Arau

Shahidan (tujuh dari kanan) bersama tetamu yang hadir memeriahkan rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Arau. - Foto Facebook Shahidan Kassim
Shahidan (tujuh dari kanan) bersama tetamu yang hadir memeriahkan rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Arau. - Foto Facebook Shahidan Kassim
A
A
A

ARAU - Kira-kira 20,000 orang pelbagai bangsa hadir ke rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Arau sempena sambutan Aidilfitri pada Rabu malam.

Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, selain itu beberapa kepimpinan parti terdiri daripada UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di peringkat negeri turut sama hadir bagi memeriahkan majlis berkenaan.

Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, penganjuran program berkenaan dilaksanakan bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri selepas masyarakat sebelum ini terikat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua tahun lalu.

"Kehadiran tetamu pada malam ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, kaum dan parti politik yang turut sama memeriahkan majlis ini," katanya selepas majlis berkenaan yang berlangsung di Dewan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kubang Gajah di sini pada Rabu malam.

Tambah Shahidan, terdapat juga warga perantau yang pulang ke kampung turut sama dalam majlis itu bagi mengeratkan silaturahim.

Dalam pada itu, Shahidan turut berkesempatan menyerahkan sumbangan duit raya kepada masyarakat setempat yang hadir sewaktu majlis berkenaan. - Bernama