Duterte sokong Marcos Jr sebagai Presiden Filipina

Robredo (kiri) menjadi pesaing utama Marcos Jr untuk merebut jawatan Presiden Filipina pada pemilihan Isnin depan. - Foto Agensi
Robredo (kiri) menjadi pesaing utama Marcos Jr untuk merebut jawatan Presiden Filipina pada pemilihan Isnin depan. - Foto Agensi
A
A
A

MANILA - Presiden Filipina, Rodrigo Duterte ‘secara tidak langsung’ menyokong bekas Senator, Ferdinand ‘Bongbong’ Marcos Jr sebagai pengganti beliau, menurut Ketua Penasihat Eksekutif mengenai Hal Ehwal Politik, Jacinto Paras pada Rabu.

“Parti PDP-Laban seakan-akan memberi isyarat ia menzahirkan sokongan kepada Marcos Jr memandangkan Duterte ialah pengerusi parti pemerintah tersebut. Kita sedia maklum beliau merupakan seorang pemimpin yang sangat konsisten dengan kata-katanya,” katanya.

Difahamkan, anak bekas pemimpin diktator itu merupakan pasangan regu anak perempuannya, Sara Duterte-Carpio yang bertanding untuk jawatan Naib Presiden pada pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada Isnin depan.

Baru-baru ini, Duterte mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak mempunyai calon pilihan walaupun Paras pernah menyarankan supaya pemimpin itu memberi sokongan kepada Marcos Jr yang disebut sebagai ‘pengganti terbaik’ untuk melindunginya daripada sebarang pendakwaan apabila penggal pentadbirannya berakhir pada Jun depan.

Sepanjang minggu ini, calon presiden akan mengadakan kempen terakhir yang tamat secara rasmi pada Sabtu ini untuk menarik sokongan yang kini menyaksikan persaingan sengit antara Marcos Jr dan Naib Presiden, Leni Robredo.

Marcos Jr yang menjadi calon pilihan dijadualkan mengadakan tiga perhimpunan bersama para penyokongnya dalam usaha untuk ‘menghidupkan semula’ legasi keluarganya selepas kebangkitan rakyat menggulingkan pemerintahan bapanya yang memegang tampuk pentadbiran Filipina selama 36 tahun.

Manifesto utama beliau adalah untuk menyampaikan mesej perpaduan walaupun pesaingnya cuba menggunakan isu ‘rompakan kekayaan negara’ ketika di bawah pemerintahan mendiang bapanya.

Kaji selidik dilakukan Pulse Asia pada pertengahan bulan lalu menunjukkan 56 peratus daripada 2,400 responden mengesahkan bahawa mereka akan menyokong Marcos Jr manakala 23 peratus memberi sokongan kepada Robredo.

Bintang tinju, Manny Pacquiao dan Datuk Bandar Manila, Francisco Domagoso pula meraih tujuh peratus dan empat peratus sokongan. - Agensi