Dua bot Vietnam ceroboh perairan negara pada hari raya ditahan

Rashidilhadi (duduk, kiri) menunjukkan sebahagian hasil laut dalam bot nelayan Vietnam yang ditahan pada Isnin. - Foto Maritim
Rashidilhadi (duduk, kiri) menunjukkan sebahagian hasil laut dalam bot nelayan Vietnam yang ditahan pada Isnin. - Foto Maritim
A
A
A

KEMAMAN – Taktik dua bot nelayan asing menceroboh perairan negara ketika umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri tidak berhasil apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman pada Isnin.

Dua bot nelayan asing Vietnam itu berjaya ditahan sekitar jam 2.30 hingga 3 petang pada kedudukan 66 batu nautika dari Kuala Kemaman melalui rondaan bersepadu Op Pagar Laut, Op Kuda Laut dan Op Iman.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot tersebut dikendalikan 12 kru termasuk tekong dipercayai warga Vietnam berusia antara 18 hingga 56 tahun.

“Pemeriksaan mendapati semua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan tiada permit menangkap ikan di perairan negara.

“Kita turut merampas pelbagai jenis hasil laut seberat hampir 200 kilogram dan bekalan diesel kira-kira 200 liter serta peralatan menangkap ikan yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM2 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut Rashidilhadi, bot dan semua kru ditahan serta dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan negara tanpa kebenaran dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Maritim Malaysia sentiasa berada dalam keadaan bersedia dan melaksanakan rondaan seperti biasa meskipun ketika musim perayaan.

“Operasi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing akan diteruskan tanpa henti dan Maritim Malaysia menggunakan pelbagai kaedah operasi bagi melindungi hasil laut negara dan khazanahnya daripada dicuri oleh nelayan asing,” katanya.