Kerani rugi RM132,900 ditipu Macau Scam menyamar pegawai KKM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang kerani di sebuah syarikat swasta di sini kerugian sejumlah RM132,900 setelah menjadi mangsa sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang merupakan seorang wanita berumur 47 tahun.

"Siasatan dijalankan mendapati mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mengaku sebagai pegawai KKM di bahagian pemeriksaan bekalan ubatan pada 18 April lalu.

"Mangsa diminta untuk mengesahkan sama ada pernah mengambil ubat-ubatan seperti panadol, ubat tahan sakit, ubat batuk dan ubat selesema secara berlebihan di sebuah klinik komuniti," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, mangsa bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

"Panggilan itu kemudiannya dan telah disambungkan kepada seorang lelaki lain yang menyamar sebagai pegawai polis.

"Mangsa dimaklumkan terdapat rekod terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram," katanya.

Menurutnya, mangsa telah ditakutkan sekiranya tidak mengaku kesalahan tersebut, waran tangkap akan dikeluarkan.

"Panik dengan ugutan tersebut, mangsa telah membuat pindahan wang sebanyak lima kali ke dalam satu akaun yang sama.

"Mangsa telah melakukan transaksi bermula dari 22 hingga 26 April 2022 berjumlah keseluruhan RM132,900 dan diminta untuk menunggu keputusan siasatan tersebut," katanya.

Ujar Mahidisham, pada 30 April 2022 mangsa kemudiannya sekali lagi menerima panggilan telefon dan diminta untuk membuat bayaran tambahan.

"Mangsa yang berasa curiga dan tertipu kemudiannya telah membuat laporan polis.

"Siasatan lanjut berkaitan kes ini masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.