Warga asing banjiri ibu kota, lega dapat beraya

Rata-rata warga asing tidak melepaskan peluang menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Isnin dengan mengunjungi pusat beli belah di ibu kota. (Gambar kecil dari kiri: Mohamad Nasir, Siamuddin, Abdul Jalil)
Rata-rata warga asing tidak melepaskan peluang menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Isnin dengan mengunjungi pusat beli belah di ibu kota. (Gambar kecil dari kiri: Mohamad Nasir, Siamuddin, Abdul Jalil)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Warga asing tidak melepaskan peluang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Isnin mengikut cara mereka dengan membanjiri ibu kota.

Tinjauan Sinar Harian di sebuah pusat beli belah terkemuka mendapati, rata-rata menyatakan mereka berasa lega dan gembira dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini selepas negara ini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Bagi pekerja gimnasium, Mohamad Nasir Muzammil, 28, berkata, selama dua tahun lalu apabila tibanya Hari Raya Aidilfitri, dia hanya tinggal di rumah dan tidak dapat pergi ke mana-mana disebabkan negara ini menjalani PKP bagi membendung Covid-19.

“Alhamdulillah, tahun ini saya dapat beraya di luar. Hari ini saya juga dapat berjumpa dengan rakan-rakan selepas tujuh tahun tidak dapat berjumpa.

“Saya tidak dapat berjumpa dengan mereka sebelum ini kerana masing-masing sibuk dan negara ini juga menjalani PKP,” katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Dia yang berasal daripada Bangladesh berkata, telah mengambil cuti selama empat hari bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Raya sebelum ini PKP saya tidak ada pergi ke mana-mana. Jadi selama empat hari cuti ini saya dan rakan-rakan nak jalan-jalan di Bukit Bintang, KL Sentral, Pasar Seni dan sebagainya,” katanya yang sudah tujuh tahun bekerja di Malaysia.

Bagi buruh binaan, Siamuddin, 27, berkata, cuti Aidilfitri yang disambut pada Isnin membolehkan dia dan rakan-rakannya meluangkan masa bersama.

Dia yang sudah lapan tahun bekerja di Malaysia berkata, mahu menghabiskan cuti rayanya dengan bersiar-siar di pusat beli-belah dan lokasi menarik yang lain bersama rakan-rakannya.

“Saya dan rakan-rakan mahu jalan-jalan dan mengambil gambar di ibu kota. Hari raya sebelum ini kami tidak dapat melakukan perkara seperti ini kerana PKP,” katanya yang berasal daripada Bangladesh.

Kontraktor yang berasal dari Indonesia, Abdul Jalil, 26, pula meluahkan rasa lega dapat berjumpa dengan rakan-rakan dan saudaranya bagi menyambut Syawal pada tahun ini.

“Kalau dahulu PKP kita tidak dapat pergi ke mana-mana bagi menyambut hari raya tetapi tahu ini kita dapat menyambutnya.

“Saya berasa gembira tahun ini dapat berjumpa dengan rakan-rakan dan saudara saya.

“Saya juga mengambil cuti empat hari untuk bersiar-siar di ibu kota,” jelasnya yang telah bekerja di Malaysia selama empat tahun.