Pas Kelantan tidak bimbang berdepan gabungan Ku Li-Amanah

Mohd Nassuruddin (dua dari kiri) bersama Majidah (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada pengamal media Kelantan dibawah Kemudi pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan pada Jumaat.
Mohd Nassuruddin (dua dari kiri) bersama Majidah (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada pengamal media Kelantan dibawah Kemudi pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerjasama yang dicetuskan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li dengan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk merampas pentadbiran negeri ini daripada tangan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak memberikan kebimbangan kepada parti itu.

Ketua Penerangan Pas Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud berkata, melihat kepada rekod lalu rakyat masih memberikan kepercayaan kepada parti itu untuk menerajui pentadbiran negeri ini.

"Pandangan saya, sesiapa sahaja boleh mencipta gabungan politik kerana negara ini mengamalkan demokrasi.

"Selebihnya, kita serahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan berkait dengan perkara tersebut," katanya selepas diminta mengulas gabungan baharu iaitu Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan yang diketuai oleh Ku Li untuk merampas negeri ini daripada Pas.

Mohd Nassuruddin sebelum itu meraikan pengamal media Kelantan di bawah Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan di sini.

Hadir sama Presiden Kemudi, Majidah Ismail.

Menurutnya, kebiasaan sesebuah parti yang ingin membentuk sebarang kerjasama politik perlu diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi.

Beliau berkata, individu tidak boleh membuat keputusan berkait dengan parti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu berkata, jarang berlaku individu buat kerjasama tanpa keputusan rasmi dari parti

"Siapa nak buat kerjasama itu terpulang, tetapi keputusan tersebut mesti dibuat oleh parti. Pas pun kita masih ada kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

"Kita selalu sebut, orang Islam wajib bersatu. Pendirian kita (Pas) jelas, bukan bersatu sama Islam bahkan bukan Islam yang tidak extreme pun kita ajak bersatu dalam satu Keluarga Malaysia," katanya.

Mohd Nassuruddin berkata, sekiranya gabungan itu mahu merampas Kelantan, Pas akan berusaha mempertahankannya.