JPS ganda pemantauan terhadap pemandu bas ekspres

JPJ akan menggandakan pemantauan dan risikan bagi menjamin keselamatan penumpang bas ekspres.
JPJ akan menggandakan pemantauan dan risikan bagi menjamin keselamatan penumpang bas ekspres.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan menggandakan pemantauan dan risikan terhadap pengguna jalan raya membabitkan pemandu pengangkutan awam terutama bas ekspres.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Ibu Pejabat JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, selain pemeriksaan teknikal di terminal dan depoh bas seluruh negara, pihaknya turut menempatkan pegawai berpakaian preman sebagai penumpang untuk membuat risikan di dalam bas terbabit.

Menurutnya, JPJ akan turut menggerakkan unit rondaan motosikal berkamera yang mana akan membuat risikan dan mengumpul bahan bukti kesalahan pengguna jalan raya untuk dikenakan tindakan saman.

"Kepada pengguna jalan raya, anggap sahaja anda sentiasa diperhatikan. Kami juga akan letak pegawai kami di atas bas-bas dan perkhidmatan awam kali ini.

"Selain pemeriksaan teknikal, inisiatif ini (risikan) diambil bagi memastikan pemandu berada dalam keadaan elok semasa pemanduan dan menjaga tingkah laku serta mematuhi peraturan," katanya kepada media selepas menjalankan pemeriksaan terhadap bas ekspres di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini pada Jumaat.

Lokman (tengah) semasa menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah bas di TBS, Kuala Lumpur.
Lokman (tengah) semasa menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah bas di TBS, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, JPJ terpaksa menggandakan pemantauan dan risikan berikutan kadar pematuhan pengguna jalan raya semasa kempen advokasi bermula 18 hingga 28 April lalu didapati hanya mencecah paras 50 peratus.

"Kami terpaksa bekerja keras di waktu cuti ini untuk memastikan 50 peratus lagi akan dilaksanakan melalui penguatkuasaan. Jadi, kita semua patuhilah undang-undang kerana tujuan kami bukan untuk menyaman tetapi menyelamatkan nyawa.

"Percayalah memang kita akan letak pegawai di bas-bas dan pengangkutan awam. Sampai sahaja di destinasi pegawai kami akan memperkenalkan diri dan mengeluarkan saman," katanya.

Sementara itu, Lokman berkata, sebanyak 394 buah bas telah diperiksa manakala seramai 480 pemandu telah disaring untuk ujian air kencing di seluruh negara dan kesemuanya didapati negatif pengambilan dadah.

Katanya, pihak JPJ memberi tumpuan kepada TBS kerana ia merupakan sebuah terminal penting menghubungkan Lembah Klang dan negeri-negeri lain.

"Di TBS sahaja 78 buah bas diperiksa manakala 116 pemandu telah disaring dan kesemuanya didapati negatif. Setakat ini kita dapati pematuhan di TBS ini pada kadar 90 ke 95 peratus malah orang awam turut berpuas hati dengan perkhidmatan dan harga tiket," ujarnya.