Songkok tradisional buatan tangan laris

Mohd Nasrum teliti dalam menghasilkan songkok bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan sentuhan tangannya.
Mohd Nasrum teliti dalam menghasilkan songkok bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan sentuhan tangannya.
A
A
A

KUANTAN - Tempahan songkok tradisional buatan tangan meningkat dua kali ganda tahun ini berbanding tahun lalu.

Pengusaha songkok, Mohd Nasrum Hassan, 50, berkata, sejak awal Ramadan permintaan songkok mula ada walaupun agak perlahan, setiap hari antara 10 hingga 15 songkok dapat dijual.

Menurutnya, namun selepas lebih seminggu berpuasa, tempahan diterima kini sudah mencecah lebih 1,000 unit.

"Saya memang tidak sangka rezeki Ramadan tahun ini begitu menggalakkan sehingga songkok hampir habis dalam tempoh tiga minggu sahaja.

“Rata-rata pembeli bukan sahaja penduduk tempatan, malah pelanggan dari luar daerah ini turut membuat tempahan," katanya yang menetap di Kampung Ketapang Hilir, Pekan.

Mohd Nasrum menyiapkan tempahan pelanggan.
Mohd Nasrum menyiapkan tempahan pelanggan.

Dia yang mewarisi kemahiran membuat songkok daripada arwah bapanya memaklumkan, hampir semua songkok dalam simpanan yang disediakan sejak tiga bulan lalu habis terjual.

"Saya ambil masa 45 minit sehingga sejam bagi menyiapkan sebuah songkok dan permintaan tinggi agak sukar untuk penuhi permintaan semua pelanggan," katanya.

Mohd Nasrum berkata, selepas episod suram selama dua tahun berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ramadan kali ini lebih bermakna apabila permintaan songkok mula bertambah.

Katanya, harga songkok yang ditawarkan berpatutan selain kualitinya menjadi faktor hasil tangan buatannya mendapat sambutan sejak lebih 30 tahun lalu.

“Harga songkok yang tempah dijual dengan berharga antara RM160 hingga RM180 sementara yang jenis biasa berharga antara RM50 hingga RM65 termasuk songkok tinggi yang terkenal dalam kalangan masyarakat di Johor.

“Setiap kali Ramadan, permintaan songkok kanak-kanak berumur antara dua hingga empat tahun berharga RM25 hingga RM40 paling tinggi permintaannya," katanya.