Polis kesan Myvi masuk laluan motosikal

Polis sedang mengesan pemandu Myvi yang memandu di lorong motosikal.
Polis sedang mengesan pemandu Myvi yang memandu di lorong motosikal.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis sedang mengesan pemandu sebuah Perodua Myvi berwarna putih yang memandu di laluan motosikal dalam video tular dipercayai dirakam di Lebuhraya Persekutuan di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, video tersebut dikesan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Petaling Jaya sekitar jam 5.30 petang pada Jumaat.

"Video tersebut tular di media sosial memaparkan sebuah kereta memandu di lorong motosikal di Kilometer (KM) 32.9 Lebuhraya Persekutuan arah Shah Alam.

"Kenderaan terlibat adalah sebuah kereta jenis Perodua Myvi putih. Dalam kejadian tersebut tidak melibatkan kemalangan serta kecederaan kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya sedang giat mengesan pemandu kenderaan tersebut untuk diambil keterangan.

"Kepada yang melihat atau berada di tempat kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau terus berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Muhamad Azri Ibrahim di talian 01112221914," katanya.