PRN Negeri Sembilan: Polis siasat MP Jempol didakwa sebar kandungan berunsur hasutan

SEREMBAN - Polis membuka satu kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berhubung ucapannya ketika berkempen di Jempol baru-baru ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan terhadap beliau susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki berusia 55 tahun di Seremban.
"Pada 26 Julai, pengadu telah membuat laporan polis selepas melihat satu hantaran video yang memaparkan ucapan ahli Parlimen terbabit ketika berkempen.
"Susulan itu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 4(A) (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, siasatan terbabit kerana pemimpin UMNO itu didakwa menyebarkan kandungan berunsur hasutan dan maklumat berkaitan pilihan raya melalui media sosial yang boleh menganggu ketenteraman awam serta melanggar peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sebelum ini media melaporkan, DAP membuat laporan polis terhadap Shamsul Kahar.
Ia susulan dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah yang mengaitkan parti itu dengan karikatur menghina Sultan Selangor ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan
Selain itu Alzafny berkata, secara kumulatif, sepanjang tempoh 18 Julai hingga 28 Julai(Selasa), sebanyak 62 laporan polis diterima dan 19 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya telah dibuka.
"Polis akan terus mempertingkatkan tahap kesiapsigaan, pematuhan dan penguatkuasaan secara menyeluruh sepanjang PRN Negeri Sembilan ke 16.
"Sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan secara tegas, adil dan berintegriti tanpa sebarang kompromi,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
