LEAD Malaysia gesa kerajaan perkasa pengangkutan awam, tingkat kemahiran pekerja gig

Peningkatan tambang dan caj penghantaran perlu dilihat dalam konteks tekanan kos sara hidup yang semakin dirasai rakyat.
Peningkatan tambang dan caj penghantaran perlu dilihat dalam konteks tekanan kos sara hidup yang semakin dirasai rakyat.
A
A
A

SHAH ALAM – Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis Digital Malaysia (LEAD Malaysia) berpandangan penyelesaian jangka panjang terhadap isu kenaikan tambang e-hailing dan caj penghantaran makanan bukan sekadar mengekalkan harga pada kadar rendah, sebaliknya perlu disokong dengan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap serta usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja.

Pertubuhan itu berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan rakyat mempunyai lebih banyak pilihan mobiliti dan peluang pekerjaan berkualiti, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada ekonomi gig sebagai sumber pendapatan utama.

Kenyataan itu dibuat susulan dapatan tinjauan Rakuten Insight melibatkan 1,003 responden di Malaysia yang menunjukkan 82 peratus daripada mereka akan mengubah corak penggunaan perkhidmatan e-hailing dan penghantaran makanan sekiranya harga terus meningkat.

Menurut LEAD Malaysia, peningkatan tambang dan caj penghantaran perlu dilihat dalam konteks tekanan kos sara hidup yang semakin dirasai rakyat.

Katanya, kenaikan kos tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada pengguna yang menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk ke tempat kerja, hospital, institusi pendidikan atau urusan harian, malah turut memberi tekanan kepada peniaga kecil yang bergantung kepada perkhidmatan penghantaran.

“Apabila kos penghantaran meningkat, sebahagian peniaga mungkin terpaksa memindahkan kos tambahan kepada pelanggan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup secara keseluruhan,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Bagaimanapun, LEAD Malaysia menegaskan penyelesaian bukanlah dengan menekan kadar tambang kerana pekerja gig turut berdepan peningkatan kos operasi termasuk bahan api, penyelenggaraan kenderaan, insurans dan perbelanjaan harian.

Menurut pertubuhan itu, pendekatan sedemikian hanya akan memindahkan beban daripada pengguna kepada pekerja gig tanpa menyelesaikan isu asas yang dihadapi.

Sehubungan itu, LEAD Malaysia menggesa kerajaan memperkukuh sistem pengangkutan awam yang lebih bersepadu, mampu milik dan boleh dipercayai supaya benar-benar menjadi pilihan utama rakyat.

Katanya, pengangkutan awam perlu meliputi lebih banyak kawasan serta beroperasi pada waktu yang sesuai bagi membolehkan orang ramai bergerak ke tempat kerja, mendapatkan rawatan, menghantar anak ke sekolah dan menjalankan urusan harian dengan lebih mudah.

Dalam masa sama, pertubuhan itu berpandangan perkhidmatan e-hailing sepatutnya berfungsi sebagai pelengkap kepada sistem pengangkutan awam, khususnya bagi perjalanan pertama dan terakhir, kawasan yang kurang mendapat liputan serta ketika perkhidmatan awam adalah terhad.

LEAD Malaysia turut menekankan kepentingan memperkukuh agenda peningkatan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja, khususnya bagi individu yang terlibat dalam ekonomi gig.

Menurutnya, kerajaan, industri, institusi pendidikan dan platform digital perlu bekerjasama menyediakan laluan perkembangan kerjaya yang jelas menerusi latihan, pensijilan dan peluang pekerjaan bernilai tinggi yang sejajar dengan keperluan pasaran.

“Ekonomi gig telah memainkan peranan penting sebagai sumber pendapatan fleksibel dan jaringan keselamatan ekonomi, terutama kepada pesara, orang kurang upaya, pelajar serta individu yang memerlukan waktu kerja lebih anjal.

“Namun, ia tidak seharusnya menjadi pilihan utama semata-mata kerana kekurangan peluang pekerjaan lain. Sebaliknya, ekonomi gig perlu kekal sebagai pilihan yang fleksibel, sumber pendapatan tambahan atau ruang peralihan sementara individu meningkatkan kemahiran dan mendapatkan pekerjaan yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, LEAD Malaysia menegaskan pekerja yang memilih atau bergantung sepenuhnya kepada ekonomi gig juga berhak menikmati pendapatan yang munasabah, perlindungan sosial yang praktikal dan persekitaran kerja yang adil.

Pertubuhan itu turut mengingatkan bahawa kenaikan harga secara berterusan boleh mewujudkan kitaran yang menjejaskan keseluruhan ekosistem apabila pengguna mengurangkan tempahan, sekali gus mengurangkan pendapatan pekerja gig.

Justeru, LEAD Malaysia berpandangan setiap keputusan berkaitan kadar tambang dan caj perkhidmatan perlu mengambil kira kemampuan pengguna, pendapatan bersih pekerja gig serta kesannya terhadap kos sara hidup.

Menurutnya, kejayaan sebenar bukan diukur melalui peningkatan jumlah rakyat yang bergantung kepada ekonomi gig, sebaliknya apabila rakyat mempunyai kebebasan memilih antara pekerjaan tetap, keusahawanan atau pekerjaan gig berdasarkan keperluan dan keadaan hidup masing-masing.

“Ia perlu kekal sebagai pilihan yang fleksibel dan bermaruah, bukannya pengganti kepada sistem pengangkutan yang cekap, tenaga kerja berkemahiran dan peluang pekerjaan berkualiti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!