Letupan mercun: Pemilik rumah, sekolah terima bantuan wang tunai

Eng Lai menyerahkan bantuan wang tunai kepada salah seorang mangsa yang terbabit dalam kejadian letupan semasa kerja-kerja pelupusan mercun di stor barang kes IPD Sentul Selasa lalu.
Eng Lai menyerahkan bantuan wang tunai kepada salah seorang mangsa yang terbabit dalam kejadian letupan semasa kerja-kerja pelupusan mercun di stor barang kes IPD Sentul Selasa lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilik tujuh rumah dan sebuah sekolah yang mengalami kerosakan akibat kejadian letupan semasa kerja-kerja pelupusan mercun di stor barang kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul Selasa lalu, menerima sumbangan wang tunai daripada IPD tersebut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sebanyak RM3,800 berjaya dikumpulkan dan disumbang oleh warga IPD Sentul, manakala Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) akan membantu dari segi kos pembaikan premis yang terjejas secara percuma.

Menurutnya, kebanyakan premis terbabit mengalami kerosakan membabitkan bahagian siling dan tingkap pecah.

"Kita daripada pihak IPD Sentul memberikan sedikit sumbangan kepada pemilik rumah dan ini satu sumbangan daripada pegawai serta anggota dari IPD Sentul.

"Kita minta kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta MCPF akan bantu hantar kontraktor untuk buat penilaian kerosakan yang akan mereka bantu baiki secara percuma.

"Jumlah anggaran kerugian keseluruhan masih dalam siasatan pihak bomba," katanya kepada media selepas melawat premis kediaman yang terjejas di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, sumbangan daripada MCPF tersebut merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat persatuan berkenaan.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, dalam kejadian sekitar jam 6.30 petang itu, seramai tiga pekerja am yang sedang menjalankan kerja pelupusan mercun berkenaan mengalami kecederaan ringan akibat letupan tersebut.

Sebanyak 18 buah kereta dan dua lori turut musnah dalam letupan tersebut.