Jumlah kenderaan bertambah, aliran trafik mulai sesak

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Suhaily Mohd Zain
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Suhaily Mohd Zain
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Aliran trafik di beberapa jalan utama dan lebuh raya di negeri ini mulai sesak dengan pertambahan kenderaan pada petang Jumaat.

Tinjauan yang dilakukan mendapati trafik bergerak perlahan dari arah Juru ke Perai dan kesesakan juga berlaku di susur keluar Jambatan Pulau Pinang dari arah pulau menuju ke Seberang Perai.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Suhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menjangkakan pertambahan jumlah kenderaan yang memasuki negeri ini mulai Sabtu berikutan ramai yang mengambil peluang untuk menggunakan tol secara percuma seperti diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Katanya, bagi memastikan kelancaran dan keselamatan terjamin, pemandu kenderaan dinasihatkan mematuhi semua peraturan jalan raya selain sentiasa memandu dengan berhati-hati.

"Kita dapati ramai yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu kononnya dengan alasan mahu mencari jalan bagi mengelak dari kesesakan.

"Kalau nak guna telefon bimbit, guna dengan rasa tanggungjawab dan jangan merisikokan diri sendiri termasuk pengguna jalan raya yang lain," katanya ketika ditemui media selepas membuat pemantauan trafik di Tol Juru di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Mohd Suhaily berkata berdasarkan penilaian awal dianggarkan sebanyak 3.6 juta kenderaan akan melalui Pulau Pinang untuk menghala balik ke utara sempena perayaan Aidilfitri.

Katanya, bagi membantu melancarkan aliran lalu lintas dan memudahkan pengguna jalan raya membuat perancangan awal, pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang akan menyalurkan maklumat aliran trafik bermula pada Jumaat ini melalui medium Facebook rasmi PDRM Pulau Pinang.

Beliau berkata, seramai 360 pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Pulau Pinang akan terlibat secara langsung dalam Op Selamat 18 yang dilancarkan bermula 29 April hingga 8 Mei depan.

Di samping itu jelasnya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik turut berkolaborasi dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen bagi Kempen Rumah Selamat dan Pencegahan Jenayah.