'Sasaran 36 emas tidak jadi masalah'

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

KETUA Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi 2021, Datuk Nur Azmi Ahmad menyifatkan sasaran 36 pingat emas, 35 perak dan 75 gangsa ditetapkan pada temasya sukan dwitahunan itu yang bakal menyingkap tirai dari 12 hingga 23 Mei depan mampu dicapai.

Malah jelasnya, sasaran diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu itu tidak menjadi masalah kepada kontinjen negara yang dibarisi kombinasi atlet muda dan senior.

Katanya, sasaran emas tersebut telah dijangkakan berdasarkan pemerhatian dalam bengkel penetapan sasaran pingat sebelum ini dengan kebanyakan persatuan sukan berhati-hati memuktamadkan sasaran.

Nur Azmi
Nur Azmi

“Mungkin sebab masih dalam fasa percubaan atau mungkin (dipengaruhi) tempoh sudah lama tak beraksi, namun saya percaya semua persatuan atau pasukan mahukan pingat emas, tapi mereka pun berhati-hati.

“Jadi, secara dasar kita tengok daripada apa yang dikumpulkan, kita ambil yang terbaik dengan apa yang kita ada ketika ini dan mungkin masa pertandingan nanti, ia (jumlah pingat) akan berubah dari hari ke hari,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi 2021.

Sementara itu, pembawa Jalur Gemilang Sukan SEA Hanoi 2021, Nur Dhabitah Sabri percaya jumlah sasaran itu dibuat selepas mengambil kira segala aspek kekuatan dan kekurangan kontinjen negara pada edisi kali ini.

“Saya fikir sasaran itu bukan sesuatu yang dibuat sesuka hati, mesti ada kiraannya dan mereka percaya kami (atlet) untuk capai sasaran tersebut.

“Tetapi saya pun tak nak memberi tekanan kepada rakan-rakan kontinjen sendiri, saya cuma harap mereka dapat berikan terbaik, anggap semuanya ibarat sesi latihan dan nikmati keseronokan semasa pertandingan,” kata atlet terjun negara itu.

Untuk rekod, pada edisi Filipina 2019 di Manila, kontinjen negara mengutip 56 emas, 57 perak dan 72 gangsa, jauh tersasar berbanding sasaran 70 emas, 51 perak dan 105 gangsa, seterusnya menduduki tangga kelima keseluruhan berbanding sasaran tempat keempat.

Tuan rumah, Filipina dinobatkan juara diikuti Vietnam (kedua), Thailand (ketiga) dan Indonesia keempat.