Lelaki tular dukung bapa ditawarkan kerja

Laporan Sinar Harian pada 21 April lalu.
Laporan Sinar Harian pada 21 April lalu.
A
A
A

KUALA NERUS - Lelaki tular kerana sentiasa mendukung arwah bapanya sehingga tidak berpeluang menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja bertuah kerana menerima surat tawaran bekerja daripada UniSZA Properties Sdn Bhd.

Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UniSZA Holdings Sdn Bhd, Apli Yusoff berkata, tawaran kerja yang diberikan kepada Mohd Farihan Ab Hamid sebagai jalan untuk meringankan bebanan kewangan dialami lelaki berkenaan.

Beliau berkata, Mohd Farihan juga merupakan sebahagian daripada 14 komuniti di Kuala Nerus yang menerima sumbangan zakat sempena Majlis Berbuka Puasa UniSZA Holdings Sdn Bhd Bersama Anak Syarikat yang diadakan di sebuah hotel pada Selasa.

Katanya, turut menerima sumbangan ialah 34 orang penerima zakat yang terdiri dalam kalangan kakitangan anak syarikat UniSZA Properties Sdn Bhd.

"Matlamat utama program adalah untuk meraikan kakitangan di samping membantu meringankan beban komuniti Kuala Nerus dengan sumbangan zakat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan serta pengurusan tertinggi UniSZA Holdings, Nor Irwan Adam.

Sementara itu, Nor Irwan dalam ucapannya mengingatkan kakitangan syarikat supaya sentiasa peka dan prihatin terhadap setiap permasalahan komuniti terutama dalam daerah Kuala Nerus.

Katanya, UniSZA Holdings perlu sentiasa menjadi badan korporat yang bertanggungjawab bukan sahaja dalam pembangunan ekonomi malah juga tetap peka dengan pembangunan modal insan.

Mohd Farihan (tengah) menerima tawaran kerja dan sumbangan zakat pada Majlis Berbuka Puasa UniSZA Holdings Sdn Bhd Bersama Anak Syarikat di sebuah hotel pada Selasa.
Mohd Farihan (tengah) menerima tawaran kerja dan sumbangan zakat pada Majlis Berbuka Puasa UniSZA Holdings Sdn Bhd Bersama Anak Syarikat di sebuah hotel pada Selasa.

"Saya harap agar lebih banyak lagi badan korporat yang lain turut sama turun padang dalam membantu masyarakat terutamanya golongan yang memerlukan," katanya.

Antara kakitangan syarikat yang terlibat menerima sumbangan zakat ialah seorang ibu tunggal yang mempunyai empat tanggungan, Rohsenani Arifin manakala Faizul Jusoh mempunyai enam orang tanggungan.