PSIMA mahu Belanjawan 2027 fokus cegah krisis psikologi, mental

Malaysia memerlukan sistem pemantauan kesihatan psikologi rakyat yang lebih menyeluruh. Foto hiasan
Malaysia memerlukan sistem pemantauan kesihatan psikologi rakyat yang lebih menyeluruh. Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA – Kerajaan digesa menjadikan pencegahan masalah psikologi dan kesihatan mental sebagai antara keutamaan utama dalam Belanjawan 2027.

Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Profesor Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, negara perlu beralih daripada pendekatan reaktif kepada pencegahan awal, pengesanan risiko dan intervensi sebelum masalah psikologi menjadi lebih serius.

Menurutnya, peningkatan masalah psikologi dalam masyarakat perlu dilihat seiring dengan keperluan memperkukuh sistem pencegahan secara menyeluruh.

“National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023 menunjukkan prevalens simptom kemurungan dalam kalangan penduduk berumur 16 tahun ke atas meningkat daripada 2.3 peratus pada 2019 kepada 4.6 peratus pada 2023, bersamaan sekitar satu juta rakyat Malaysia.

“Dalam kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 15 tahun pula, 16.5 peratus dilaporkan mengalami masalah kesihatan mental,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Shazli berkata, perkembangan itu menunjukkan negara tidak boleh terus bergantung kepada pendekatan reaktif yang hanya bertindak selepas masalah berada pada tahap kritikal.

Sebaliknya, jelas beliau, Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan kepada pencegahan awal, pengesanan risiko, advokasi psikologi, pendidikan keibubapaan, daya tindak, regulasi emosi serta intervensi di sekolah, universiti, tempat kerja dan komuniti.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan menyediakan dana khusus bagi membangunkan Infrastruktur Psikologi Negara yang menghubungkan sistem penilaian, intervensi, rujukan, susulan, data psikologi nasional dan tenaga kerja psikologi secara tersusun.

Dalam pada itu, Shazli turut berpandangan Malaysia juga memerlukan sistem pemantauan kesihatan psikologi rakyat yang lebih menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Katanya, negara tidak seharusnya hanya mengetahui tahap sesuatu masalah apabila statistik kemurungan, kecenderungan bunuh diri, agresiviti atau gangguan fungsi sudah meningkat.

"Usaha berkenaan perlu dilaksanakan seiring dengan pembangunan Akta Psikologi Negara bagi memperkukuh standard profesion, kompetensi, etika, pendaftaran dan perlindungan pengguna.

“Kesihatan psikologi bukan sekadar isu kesihatan. Ia berkait langsung dengan produktiviti negara, prestasi pendidikan, kestabilan keluarga, keselamatan sosial dan kualiti sumber manusia.

“Belanjawan 2027 perlu menjadi titik perubahan iaitu daripada hanya merawat masalah, kepada membina masyarakat yang lebih berdaya tahan sebelum masalah menjadi krisis,” katanya.

Dalam Belanjawan 2026, Kementerian Kesihatan Malaysia menerima peruntukan kira-kira RM46.52 bilion, manakala peruntukan khusus berkaitan inisiatif kesihatan mental yang diumumkan adalah sekitar RM94.6 juta, termasuk RM21.6 juta bagi program Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan dan RM73 juta untuk pembangunan pusat tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!