Kedai 'bundle' jadi stor simpan ganja

Pegawai penyiasat menunjukkan dadah yang dirampas dalam operasi terancang yang dijalankan sejak Isnin lalu.
Pegawai penyiasat menunjukkan dadah yang dirampas dalam operasi terancang yang dijalankan sejak Isnin lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan enam individu bersama dadah bernilai hampir RM1 juta dalam beberapa serbuan di kawasan Seberang Perai Tengah (SPT), sejak Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Suhaily Mohd Zain, kejayaan itu hasil daripada operasi terancang yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah SPT hingga membongkar stor penyimpanan dadah yang berselindung di sebalik perniagaan menjual pakaian 'bundle' di Bukit Mertajam.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di sebuah penginapan polis berjaya menahan seorang mekanik berusia 47 tahun bersama bungkusan dadah jenis syabu seberat 1,055 gram (g) bernilai RM37,980.

"Susulan daripada tangkapan itu membawa kepada tiga lagi serbuan di dua premis yang berada berdekatan antara satu sama lain dan menahan lima lagi suspek serta menemui 23 bungkusan syabu bernilai RM575,755," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang pada Khamis.

Antara dadah yang dirampas daripada sindiket berkenaan.
Antara dadah yang dirampas daripada sindiket berkenaan.

Mohd Suhaily berkata, hasil soal siasat yang dijalankan terhadap suspek telah berjaya membongkar stor penyimpanan dadah jenis ganja di rumah kedai berkenaan dan menemui 144 ketulan mampat ganja seberat 146,250 gram bernilai RM365,625.

Mengulas lanjut, Mohd Suhaily berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif edar dadah sejak Januari lalu untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata, bekalan ganja itu dipercayai dibawa masuk ke negara ini dari Selatan Thailand.

Katanya, selain dadah polis turut menyita tiga buah kenderaan daripada sindiket terbabit yang keseluruhannya bernilai RM45,000.

"Ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek berusia diantara 22 hingga 55 tahun mendapati tiga daripada mereka positif dadah, lima yang ditahan mempunyai pelbagai rekod lampau bersabit kesalahan dadah serta jenayah.

"Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 1 Mei depan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya.