Individu tawar pakej taubat RM20 akui silap, tarik balik poster

Tangkap layar poster pakej taubat di Facebook. Gambar kecil: Mohd Shahzihan
Tangkap layar poster pakej taubat di Facebook. Gambar kecil: Mohd Shahzihan
A
A
A

SHAH ALAM - Individu yang memuat naik poster perkhidmatan pakej taubat berharga RM20 di Facebook mengaku kesilapannya dan diminta untuk memadamkan iklan berkenaan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ia susulan kenyataan di portal Berita Bernama pada Ahad lalu bertajuk 'Jabatan Agama Islam Negeri diminta siasat laman sosial pakej taubat RM20' yang meminta Jabatan Agama Islam negeri-negeri untuk menyiasat kemunculan perkhidmatan berkenaan dalam laman sosial.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati pemilik akaun Facebook terbabit memuat naik poster tersebut pada 26 Jun 2021.

"Dia juga diminta untuk menarik balik poster kempen wakaf al-Quran tersebut kerana mengelirukan dan memberi gambaran bahawa orang Islam yang hendak bertaubat boleh membayar RM20 kepada mana-mana orang atau pihak, sedangkan perkara ini bercanggah dengan cara bertaubat yang dianjurkan oleh hukum syarak.

"Taubat adalah perbuatan hamba kepada ALLAH SWT memohon keampunan akibat perbuatan dosa yang dilakukan. Sifat-Nya yang Maha Pengampun tidak memerlukan orang tengah atau perantara atau nilai wang tertentu bagi taubat diterima," katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan mengingatkan umat Islam, khususnya di Selangor agar berhati hati memberi ungkapan dan penataan bahasa mengenai prinsip-prinsip agama.

Menurutnya, sebarang kesilapan atau kekhilafan akan menyebabkan timbul kekeliruan tentang prinsip, menjadikan keadaan yang cemas, membuka ruang fitnah kepada agama dan umat Islam.

"Di Selangor, perbuatan menjual beli dosa pahala dengan harga dan nilai tertentu adalah satu perkara yang bercanggah dengan hukum syarak serta ia adalah suatu perlakuan yang boleh disiasat mengikut Seksyen 8, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor No. 9 Tahun 1995.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Pada Ahad, Jabatan Agama Islam negeri diminta menyiasat kemunculan laman sosial yang menawarkan pakej taubat dengan bayaran RM20.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, siasatan itu perlu bagi mengesan mereka yang terbabit dengan pakej berkenaan untuk diambil tindakan.