Ku Li jumpa Amanah Kelantan bukan keputusan parti: Annuar

Annuar (kanan) menyampaikan sumbangan zakat kepada sebahagian pelajar pada Majlis Penyampaian Zakat Fisabilillah Pelajar Tingkatan 6 Atas dan 6 Bawah Parlimen Ketereh 2022 di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor, pada Khamis. - Foto Bernama

A
A
A

KOTA BHARU - Itu tindakan individu, bukan keputusan parti.

Demikian reaksi Ketua Bahagian UMNO Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkaitan laporan sebuah portal berita mengenai Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, mengadakan satu pertemuan dan perbincangan awal antaranya dengan pimpinan Amanah Kelantan baru-baru ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, prinsip UMNO adalah jelas, setiap keputusan mengenai sebarang hubungan hanya boleh diputuskan oleh parti.

"Kalau sesiapa sahaja bertindak atas sifat individu, maka tindakan itu jadilah kerja individu. Individu tak semestinya serupa dengan kerja parti, jadi setakat yang saya tahu inisiatif yang dikatakan itu hanya inisiatif peribadi. Mudah sahaja, apa-apa perkara yang parti putuskan maka itulah yang kita pegang dan ikut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan Zakat Fisabilillah kepada 259 pelajar tingkatan enam Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan di sini, pada Khamis. - Bernama