Syed Zaid letak jawatan, Awang Adek pengerusi baharu SC

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan melantik Datuk Dr Awang Adek Hussin sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang baharu berkuat kuasa selama tiga tahun mulai 1 Jun 2022 hingga 31 Mei 2025.

Beliau menggantikan Datuk Syed Zaid Syed Jaffar Albar yang meletak jawatan dan akan berkuat kuasa pada 31 Mei 2022.

"Kementerian Kewangan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang tempoh sebagai Pengerusi Eksekutif SC sejak 1 November 2018 hingga 30 Mei 2022.

"Bagi memastikan peralihan yang lancar dan teratur serta memastikan kesinambungan pentadbiran SC, Kementerian Kewangan telah melantik Datuk Dr Awang Adek Hussin sebagai Pengerusi Eksekutif SC yang baharu,” menurut Kementerian Kewangan dalam kenyataan pada Khamis.

Pelantikan Awang Adek selaras dengan seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 [Akta 498].

Beliau mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam bidang pasaran modal dan kewangan Islam.

Beliau berkelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang ekonomi daripada University of Pennsylvania, Amerika Syarikat. Antara pengalaman beliau adalah sebagai Penolong Gabenor di Bank Negara Malaysia, bekas ahli Lembaga Pengarah SC, bekas Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Ketua Pengarah pertama bagi Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Pesisir Labuan (LOFSA), bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat dan pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan pada tahun 2006 hingga 2013.

Berbekalkan pengalaman yang ada, Kementerian Kewangan yakin, Awang Adek mampu memberi sumbangan cemerlang demi memastikan SC mencapai matlamatnya untuk menjadi organisasi yang berprestasi tinggi. - Bernama

Artikel Berkaitan: