MPKj akur arahan tiada kenaikan cukai taksiran baharu

Najmuddin
Najmuddin
A
A
A

KAJANG - Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) akur dengan arahan kerajaan negeri bahawa tiada kenaikan cukai taksiran baharu akan dilaksanakan di Selangor buat masa ini.

Yang Dipertua MPKj, Najmuddin Jemain berkata, MPKj akui sedang melaksanakan proses semakan nilaian baharu cukai taksiran di bawah pentadbirannya susulan kadar semasa telah berusia 37 tahun.

Menurutnya, susulan daripada arahan kerajaan negeri itu maka tiada kenaikan segera akan dilaksanakan, namun pihaknya akan meneruskan proses semakan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

"MPKj telah menyerahkan notis (kadar nilaian baharu) ke separuh daripada 349, 411 pemilik unit. Kebanyakan pemilik yang belum menerima notis adalah daripada unit strata.

"Proses-proses lain akan dijalankan secara berterusan disusuli sesi pendengaran mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan," katanya ketika sidang akhbar tindakan semakan nilaian MPKj pada Khamis.

Menerusi satu kenyataan, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han memberitahu tiada kenaikan cukai taksiran di Selangor dan tarikh penguatkuasaan nilaian baharu oleh MPKj belum diputuskan oleh kerajaan negeri.

Najmuddin berkata, prosedur dijalankan mengikut peruntukan Akta 171 dan tiada kenaikan cukai taksiran akan dikenakan tanpa kebenaran kerajaan negeri.

"Penduduk jangan risau atau khuatir kerana tidak akan berlaku kenaikan segera, proses yang dilakukan itu mengambil kira kadar nilaian semasa telah berusia 37 tahun dan perlu disemak semula.

"Pemilik yang ingin mengemukakan bantahan boleh menghantarnya secara dalam talian bagi memudahkan pengumpulan maklumat dilakukan," katanya.