SJR di 56 lokasi 'panas' di Sarawak

Mohd Azman pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 18 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Khamis. - Foto Bernama
Mohd Azman pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 18 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Polis Sarawak akan melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di 56 lokasi panas di seluruh Sarawak dalam Op Selamat Ke-18 yang bermula esok sehingga 8 Mei, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, selain bertujuan untuk menurunkan kadar kemalangan serta penguatkuasaan undang-undang dan peraturan lalu lintas, Op Selamat 18 juga bertujuan untuk mencegah jenayah pecah rumah.

"Seramai 750 orang pegawai dan anggota polis dari pelbagai cawangan dan jabatan akan terlibat bagi menentukan keselamatan pengguna jalan raya dan juga bagi memastikan rumah yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat.

"Lokasi tumpuan adalah di jalan Persekutuan, jalan Negeri dan jalan Bandaran terutamanya yang kerap berlaku kemalangan dan kesesakan lalu lintas, kawasan perumahan dan penempatan orang ramai,” katanya selepas majlis pelancaran operasi itu di sini, pada Khamis.

Menurutnya, orang ramai yang meninggalkan rumah sepanjang tempoh itu juga dinasihatkan untuk memaklumkan ketidakberadaan mereka kepada pihak polis, agar anggota yang bertugas dapat membuat rondaan di kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan yang lain, Mohd Azman berkata, mengikut perbandingan statistik kemalangan bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, jumlah kemalangan jalan raya di Sarawak menunjukkan peningkatan dengan 4,253 kes direkodkan berbanding 3,586 kes dalam tempoh yang sama pada tahun 2021.

"Kemalangan maut meningkat lapan kes daripada 64 kes pada tahun 2021 kepada 72 kes, manakala kemalangan parah menunjukkan penurunan satu kes iaitu dari 41 kes pada tahun 2021 kepada 40 kes tahun ini,” katanya. - Bernama