Dugaan menjelang Syawal, 9 rumah hangus di Berek 12

Api marak membakar sembilan rumah di Berek 12, Kota Bharu.
Api marak membakar sembilan rumah di Berek 12, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Persiapan Aidilfitri lima keluarga hangus dalam kebakaran yang membabitkan sembilan rumah dalam kejadian di belakang Pasar Berek 12, di sini kira-kira jam 9.35 pagi Khamis.

Salah seorang mangsa, Noor Aiza Salleh, 42, berkata, semasa berada di rumahnya dia terdengar bunyi letupan kuat seperti mercun bola jatuh di atas atap rumah ibunya, Zaharah Mat, 70, yang terletak bersebelahan dengan rumahnya.

Katanya, kali kedua mendengar bunyi letupan yang sama menyebabkannya dia berasa tidak senang hati dan keluar hendak memanggil wanita itu sebelum ternampak kepulan asap dari arah bahagian atas rumah ibunya.

“Saya menjerit memanggil ibu berkali-kali tetapi dia tidak menjawab kerana tidur selepas kepenantan membuat kuih.

“Saya tendang pintu rumahnya selama lebih kurang 15 minit barulah dia membuka pintu sambil memegang segayung air sambil menjerit serta menunjuk ke arah ‘api’ di bahagian atas rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Khamis.

Ujar peniaga tudung dan kosmetik dalam talian itu, segera menarik keluar ibunya dari rumah untuk menyelamatkan diri mereka dan baru teringat akan anak sulung lelaki berusia 21 tahun yang tidur di dalam bilik di rumahnya.

“Saya masuk semula ke dalam rumah mengejutkan anak sulung dan keluar menyelamatkan diri.

“Waktu itu api merebak dengan cepat kerana cuaca panas dan berangin,” katanya.

Menurutnya, kesemua persiapan Aidilfitri mereka sekeluarga termasuk baju dan kasut raya empat anak berusia sembilan sehingga 21 tahun musnah dalam kebakaran itu.

“Saya gemar melakukan persiapan awal, jadi semua sudah tersedia untuk menyambut Syawal minggu depan bahkan sejumlah wang termasuk duit kutu sudah dikeluarkan dari bank.

“Semuanya hangus bersama sejumlah barangan kemas di dalam rumah itu,” katanya hiba.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, peniaga, Che Nab Che Jaafar,65, berkata, ketika kejadian dia bersama seorang anak orang kurang upaya (OKU), Nor Haslinda Othman, 42, berada di rumah yang terletak selang dua buah dari rumah Noor Aiza yang juga anak saudaranya itu.

Mangsa kebakaran, Che Nab Che Jaafar,65, (kanan) bersama seorang anak orang kurang upaya (OKU), Nor Haslinda Othman, 42, berteduh sementara di rumah jiran di lokasi kejadian.
Mangsa kebakaran, Che Nab Che Jaafar,65, (kanan) bersama seorang anak orang kurang upaya (OKU), Nor Haslinda Othman, 42, berteduh sementara di rumah jiran di lokasi kejadian.

“Saya dengar Noor Aiza berteriak ‘api’ dan meminta tolong lalu saya membawa Nor Haslinda dan hanya sempat mencapai beg sandang manakala yang lain hangus dalam kebakaran itu.

“Ada 100 ekor ayam yang baru dibeli dan disimpan dalam peti sejuk untuk persediaan berniaga nasi berlauk pada hari raya kedua pun musnah dalam kejadian itu.

“Tidak ada apa-apa yang tinggal termasuk dapur gas dan semua peralatan untuk berniaga hangus, jadi tidak berniagalah saya pada hari raya nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin berkata, pasukannya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.53 pagi.

Zainal (tengah) yang turut ke lokasi kejadian kebakaran di Berek 12 pada Khamis.
Zainal (tengah) yang turut ke lokasi kejadian kebakaran di Berek 12 pada Khamis.

“Sebaik tiba di lokasi kebakaran, api sedang marak dengan cuaca panas dan berangin menyebabkan lima rumah sudah hangus 100 peratus dalam kebakaran itu.

“Empat lagi rumah hangus sebanyak 20 peratus namun tidak menyebabbkan kemalangan jiwa,” katanya.

Tambahnya, JBPM akan menyiasat punca kejadian dari pelbagai aspek termasuk dakwaan bunyi letupan seperti mercun bola sekiranya ada laporan sedemikian.

“Seramai 31 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, BBP Kota Darulnaim dan BBP Pengkalan Chepa memadamkan kebakaran dan berjaya api dikawal pada 10.30 pagi.

“Nilai kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.