Perkeso lancar Ops Kesan pastikan majikan daftar pekerja

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan melancarkan Ops Kesan kali ke-13 pada 1 Jun ini bagi memastikan semua majikan yang menggajikan sekurang- kurangnya seorang pekerja mendaftarkan perusahaan dan pekerja dengan sewajarnya.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, ia sebagaimana peruntukan Seksyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Pekerja 1969 (Akta 4), Seksyen 14 dan 16 Akta Skim Insurans Pekerjaan (Akta 800) yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2018 dan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) 1 Jun 2017.

“Sehingga 31 Mac 2022, sebanyak 527,659 majikan aktif berdaftar di bawah Akta 4 dengan seramai 8.74 juta pekerja telah mendapat perlindungan Perkeso.

“Dalam tempoh fasa peralihan ke endemik, Perkeso percaya masih ada majikan yang aktif menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja tanpa mengira jumlah gaji atau menggajikan semula pekerja tetapi belum mendaftar bagi melindungi pekerja mereka di bawah Akta 4 dan Akta 800,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, majikan perlulah mengambil tindakan segera untuk mendaftarkan perusahaan dan mencarumkan pekerja bagi memastikan mereka mendapat perlindungan keselamatan sosial.

Tegasnya, kegagalan majikan untuk mendaftarkan perusahaan dan pekerja dalam tempoh ditetapkan merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan kompaun dan pendakwaan di mana jumlah dikenakan boleh mencecah RM5,000 mengikut kesalahan dilakukan.

“Sekiranya didakwa di mahkamah dan sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, bagi tempoh 2019 sehingga 31 Disember 2021, sebanyak 5,896 notis kompaun dengan nilai RM1.96 juta telah dikeluarkan kepada majikan yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja.

“Manakala sebanyak 6,579 kes telah didakwa di atas pelbagai kesalahan.

“Sehubungan itu, mana-mana majikan yang mendaftar secara sukarela dalam tempoh pemutihan yang bermula pada 1 hingga 31 Mei 2022 akan dikecualikan daripada tindakan kompaun dan pendakwaan walaupun telah melewati tempoh yang ditetapkan,” jelasnya.