Hukuman terhadap pelaku rasuah perlu adil, tidak memihak

Abdul Rahman
Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berpandangan bahawa hukuman terhadap pelaku rasuah perlu dilaksanakan secara adil dan tidak memihak kepada penerima semata-mata.

Ujar beliau, kerajaan seharusnya mengenakan hukuman yang setimpal kepada kedua-dua pihak sama ada pemberi mahupun penerima atas kesalahan mereka.

“Kalau dalam kes ini, kita lihat penerima sahaja yang dikenakan tindakan, yang memberi tak kena apa-apa. Sebab itu rasuah menjadi semakin berleluasa,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, pemahaman mengenai rasuah perlu disebarkan kepada orang ramai agar sifat tolak rasuah itu dapat dibina dari dalam sehinggakan mereka malu untuk terlibat budaya tersebut.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, pendidikan awal kepada kanak-kanak memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak dan kelakuan mereka pada masa hadapan.

“Rasa cinta pada agama juga perlu dipupuk. Agama ini dia perlu mula dengan mengasihi dan sayang kepada agama.

Maksudnya dia nak buat apa-apa yang disuruh oleh ALLAH SWT. Dia sayang agama ini bukan untuk dirinya, tetapi untuk keluarga dan masyarakat.

“Sebab itu, peranannya bermula di masjid. Bila dia sayang masjid, dia akan sayang agama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, sifat malu dalam diri amat penting kepada semua insan terutamanya dalam membina dinding bagi mencegah kemungkaran.

Menurutnya, jika seseorang itu tidak melihat kepada hukum-hakam dan halal-haram, maka dia tidak akan ada rasa malu.

Jelasnya, kurangnya rasa malu dalam diri menyebabkan seseorang itu cenderung untuk terlibat dengan budaya aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral.

“Malu ini ia ada kaitan dengan hukum-hakam agama. Orang yang tidak melihat kepada hukum-hakam dan halal-haram, dia tidak ada rasa malu.

“Walau macam mana pun, pendedahan kepada hukum-hakam perlu wujud dan sentiasa dimainkan dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.