Pelan kontingensi atasi gangguan bekalan air musim perayaan

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) akan melaksanakan pelan kontingensi pada 29 April hingga 6 Mei bagi menangani masalah gangguan bekalan air.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi berkata, ia berikutan sasaran jangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa lebih 1.4 juta kenderaan akan memasuki Kedah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut beliau, jumlah itu mendorong berlaku peningkatan permintaan air melebihi 30 peratus atau pertambahan sebanyak 250mld berbanding anggaran 780mld pada hari biasa.

"Lori tangki akan digerakkan mengikut keperluan bagi memastikan kelangsungan bekalan air terawat kepada pengguna," katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Menurutnya, SADA menyediakan 71 buah lori tangki berkapasiti rendah dengan anggaran kapasiti 800 gelen hingga 1,200 gelen untuk digerakkan ke kawasan yang terjejas.

"Dari sudut operasi, SADA telah meningkatkan pemantauan bersepadu di semua Loji Rawatan Air (LRA), rumah pam serta kolam imbangan dalam usaha memaksimumkan peratusan pengeluaran air," katanya.

Muhammad Sanusi menambah, SADA turut mengambil inisiatif terbaru dengan menubuhkan Pusat Khidmat Setempat (PKS) di 12 lokasi berisiko.

"Lokasi terbabit ialah Masjid Tunku Abdul Rahman Putra, Kuala Kedah; Masjid Pulau Tengah, Pokok Asam, Pendang; Kedai Makan, Batu 4, Sanglang; Medan Selera, Pekan Kodiang; Pusat Khidmat ADUN, Ayer Hitam dan Loji Rawatan Air (LRA) Gurun.

"Selain itu, PKS turut ditempatkan di Dewan Taman Nelayan, Tanjung Dawai; Depoh SADA Semeling; Masjid Bukit Selambau; Dewan Orang Ramai, Kampung. Becah Sawa, Baling; Surau Kampung Tok Aris, Jeneri, Sik dan Pasar Awam Ayer Hangat, Langkawi," katanya.

Katanya, PKS akan mula beroperasi pada 2 hingga 4 Mei jam 8 pagi hingga 5 petang.

"Jadi pengguna boleh menyalurkan aduan atau masalah secara terus di kaunter PKS tanpa perlu menghubungi talian hotline atau talian Bilik Gerakan yang dijangka akan mengalami kesesakan," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, sebuah lori tangki dan tangki statik akan ditempatkan di setiap lokasi PKS bagi menyelesaikan aduan penduduk setempat dengan kadar yang segera.

"Bagaimanapun, SADA menasihatkan pengguna agar dapat melakukan persediaan awal dengan menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang musim perayaan.