14 ahli Geng Gana tumpas

Antara penerima surat penghargaan sempena Sambutan Hari Polis ke-212 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.
Antara penerima surat penghargaan sempena Sambutan Hari Polis ke-212 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.
A
A
A

SUNGAI PETANI – Seramai 14 ahli Geng Gana tumpas setelah kegiatan samun berkumpulan dilakukan mereka berjaya dihidu pihak berkuasa sekaligus mengurangkan kes samun di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kesemua ahli geng terbabit dikesan bermula 11 Mac lalu berusia antara 15 hingga 35 tahun, aktif menjalankan kegiatan samun sejak awal tahun ini.

Menurutnya, ketua geng berusia 19 tahun dari Flat Paya Nahu mempunyai lima rekod lampau membabitkan dua kes samun, tiga kes dadah dan tersenarai dalam individu dikehendaki polis kerana terbabit kes samun berkawan tanpa senjata pada 2016.

“Hasil soal siasat mendapati kumpulan ini aktif melakukan samun berkawan sekitar Sungai Petani dan telah mengaku terlibat dalam 10 kes jenayah kekerasan ke atas rakyat tempatan dan warganegara asing.

“Mereka juga mengaku telah melakukan samun membabitkan wang tunai, harta benda dan mendatangkan kecederaan kepada mangsa,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Polis ke-212 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda Tahun 2019.

Bacaan ikrar sempena Sambutan Hari Polis ke-212 peringkat Daerah Kuala Muda.
Bacaan ikrar sempena Sambutan Hari Polis ke-212 peringkat Daerah Kuala Muda.

Dalam kejadian 20 Februari, jam 6.20 pagi, seorang mangsa berusia 71 tahun disamun ahli geng terbabit ketika sedang menunggang motosikal di Jalan Kuala Ketil.

Mangsa telah dihimpit oleh tiga suspek yang menaiki dua buah motosikal sambil mengacukan pisau di leher dan meminta mangsa berhenti.

Artikel Berkaitan:

“Disebabkan enggan menuruti arahan, suspek bertindak memukul muka menggunakan topi keledar menyebabkan mangsa gagal meneruskan perjalanan.

“Dalam kejadian itu, salah seorang suspek telah melarikan dompet sebelum datang tujuh hingga lapan anggota lain menaiki lima motosikal merampas wang tunai berjumlah RM1,500, mangsa juga ditendang ketika cuba mempertahankan diri,” katanya.

Polis percaya dengan tertangkapnya kumpulan itu berjaya menyelesaikan kira-kira 20 kes samun termasuk yang tidak dilaporkan.

Antara barang yang dirampas termasuk empat buah motosikal, dua telefon bimbit, padlock dan resit pajak gadai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan 397 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Adzli turut menyampaikan surat penghargaan sempena Sambutan Hari Polis kepada 11 penerima terdiri daripada orang awam dan 44 anggota polis pelbagai pangkat.