Hormati proses penentuan rasmi tarikh hari raya: Jakim

Aktiviti cerapan anak bulan dilakukan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan atau Rukyah yang dipengerusikan oleh Mufti setiap negeri. - Gambar hiasan
Aktiviti cerapan anak bulan dilakukan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan atau Rukyah yang dipengerusikan oleh Mufti setiap negeri. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA- Semua pihak dinasihati supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh hari raya yang telah dilaksanakan sejak sekian lama di negara ini.

Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, proses penentuan itu merupakan tanggungjawab yang diserahkan kepada pihak berautoriti.

"Sebagaimana maklum, Malaysia menggunakan kaedah rukyah dan hisab dalam menentukan awal bulan hijri termasuk tarikh awal puasa, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, aktiviti cerapan anak bulan dilakukan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan atau Rukyah yang dipengerusikan oleh Mufti setiap negeri.

"Ahlinya terdiri daripada pakar falak, alim ulamak, pegawai falak yang berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem)," katanya.

Menurutnya, data rukyah yang digunakan adalah data rasmi untuk Malaysia yang dikeluarkan oleh Jupem.

"Pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja pada malam tersebut. Ia tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di semua lokasi telah ditetapkan," katanya.

Sebelum ini, tular mesej yang memetik konon bersumberkan dari Jabatan Mufti Melaka dan Balai Cerap Al-Khawarizmi di Melaka yang mendakwa umat Islam perlu bersedia kemungkinan besar tarikh 1 Syawal akan jatuh pada 2 Mei depan dan tidak sebagaimana 3 Mei yang tertera di kalendar ketika ini.

Mesej tersebut malahan menyatakan konon perubahan itu disebabkan perkiraan syarat kenampakan hilal mengikut kaedah imkanur rukyah tahun ini menggunakan format baharu.