TLDM minta kerajaan beri kelulusan segera perolehan kelompok kedua LMS

MOHD REZA
MOHD REZA
A
A
A

IPOH - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memohon kerajaan supaya perolehan kelompok kedua Kapal Misi Pesisir (LMS) dapat diberi kelulusan segera pada tahun ini demi memelihara kepentingan dan kedaulatan negara.

Panglima Tentera Laut Laksamana, Tan Sri Mohd Reza Sany berkata, perolehan aset itu amat diperlukan kerana jurang keupayaan tempur yang dihadapi TLDM telah semakin melebar dan berada pada tahap yang kritikal.

Beliau berkata, perolehan LMS berkeupayaan tempur itu adalah selari dengan perancangan program transformasi TLDM 15 to 5 yang telah direkalibrasi.

"TLDM amat berharap agar kerajaan dapat memberi pertimbangan yang positif bagi memastikan perolehan aset ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

"TLDM telah mendapat sokongan padu daripada Menteri Kanan Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) dan Kementerian Pertahanan. Jadi, saya menaruh penuh kepercayaan dan harapan kepada beliau (Hishammuddin) untuk mendapatkan bajet LMS pada tahun ini juga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena Perbarisan Hari TLDM ke-88 yang bertemakan 'TLDM Siaga Kedaulatan Terpelihara' di Padang Kawad KD Pelandok di Pangkalan TLDM dekat Lumut di sini pada Rabu.

Sementara itu, Mohd Reza berkata, kira-kira 61 peratus aset yang dimiliki TLDM pada masa kini telah beroperasi melebihi had umur asal reka bentuknya dan berada dalam keusangan.

"Justeru, TLDM amat komited dengan rancangan pembangunan keupayaan atau Program Transformasi TLDM 15 to 5. Namun, program transformasi ini perlu diubah suai dan dibuat penjajaran semula disebabkan cabaran yang dihadapi iaitu kelewatan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan perolehan-perolehan lain.

"Alhamdulillah Menteri Kanan Pertahanan telah mengumumkan projek LCS akan disambung semula dan ia telah menyuntik semangat kepada 'navy people' (warga TLDM)," katanya.

Mohd Reza berkata, bagaimanapun TLDM masih memerlukan banyak lagi platform baharu seperti tercatat dalam Program Transformasi TLDM 15 to 5, namun keutamaan bajet kerajaan Persekutuan akibat Covid-19 telah memberi kesan kepada pelaksanaan rancangan pembangunan tersebut.

"TLDM amat memahami kekangan kerajaan bagi memenuhi keperluan ini, namun saya berpandangan keadaan situasi geopolitik masa kini agak kurang stabil dan TLDM perlu sentiasa siaga dan berupaya memberi respons yang dikehendaki oleh kerajaan.

"Jadi saya amat berharap perancangan perolehan aset-aset berkenaan dapat diperoleh seperti yang dirancang sesuai dengan perkembangan pertahanan maritim serantau," katanya. - Bernama