Sila log masuk terlebih dahulu.

Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 MITC tutup Sabtu ini

Muhamad Akmal (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Rusdi (tiga dari kanan) di PKRC MITC di Melaka pada Rabu.
Muhamad Akmal (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Rusdi (tiga dari kanan) di PKRC MITC di Melaka pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) MITC yang telah menerima seramai 26,159 pesakit Covid-19 akan ditutup secara rasmi pada Sabtu ini.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, PKRC yang beroperasi hampir setahun itu juga menempatkan seramai 2,099 warga emas dan 2,250 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun sejak ia mula dibuka pada 21 Mei tahun lalu.

Menurutnya, sepanjang operasinya, PKRC MITC telah melibatkan seramai 315 petugas termasuk petugas kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Selepas hampir setahun dibuka, akhirnya tanggal 30 April bakal menjadi tarikh keramat apabila PKRC MITC akan ditutup secara rasmi.

"Biarlah PKRC ini jadi yang pertama dan terakhir dibuka di Melaka dan sekiranya berlaku peningkatan kes Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mempunyai perancangan lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan PKRC MITC di sini pada Rabu.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Rusdi Abdul Rahman; Pengarah APM Melaka, Lt Kol Cuthbert John Martin Quadra dan Pengarah PKRC MITC, Dr Abdul Karim Abdul Rahman.

Jelas beliau, pesakit yang telah berdaftar di PKRC berkenaan majoriti membabitkan pesakit dari daerah Melaka Tengah iaitu sebanyak 47.6 peratus, diikuti Alor Gajah (33.6 peratus), Jasin (18.79 peratus) dan Tangkak, Johor (0.01 peratus).

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Muhamad Akmal berkata, sebuah hospital kluster Covid-19 akan dibuka sekiranya kes jangkitan Covid-19 di negeri ini meningkat selepas Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, pembukaan hospital kluster itu merupakan antara pelan sandaran yang disediakan bagi menghadapi apa jua kemungkinan mendatang selepas PKRC MITC ditutup kepada pesakit dalam kalangan orang awam.

"Untuk sementara kita telah sediakan Kolej Jururawat Hospital Melaka sebagai pusat kuarantin yang boleh menempatkan seramai 200 hingga 300 pesakit.

"Ada juga pelan A, B dan C yang mana salah satu adalah untuk mewujudkan hospital kluster Covid-19 sama ada di Alor Gajah atau Jasin," katanya.