Kontraktor dipenjara sehari, denda guna dokumen palsu

Tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu.terhadap lapan pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan bernilai RM172,980
Tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu.terhadap lapan pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan bernilai RM172,980
A
A
A

KOTA KINABALU - Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara sehari dan didenda sebanyak RM48,000 terhadap seorang kontraktor selepas mengaku bersalah terhadap lapan pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan bernilai RM172,980 di sebuah agensi kerajaan pada 2018.

Tertuduh, Hassan Ho Abdullah, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakat Manat.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh pada 27 November 2018 di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kudat menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat akuan dan pengesahan Stesen Servis Napson.

Dokumen itu digunakan untuk tuntutan Projek Community Drumming di bawah Majlis Harga Barang Negera (MHBN) 2018 bagi syarikat Setia Gemilang Enterprise pada bulan Ogos dengan nilai RM24,660, September (RM27,360), Oktober (RM27,360) dan November 2018 (RM9,180) kepada KPDNHEP Kudat.

Dokumen itu turut digunakan untuk membuat tuntutan projek yang sama bagi syarikat Sinaran Transporter membabitkan nilai sebanyak RM30,780 pada Ogos; RM27,180 pada September; RM18,360 pada Oktober dan RM8,100 pada November 2018.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama iaitu penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh berdepan hukuman penjara selama 32 bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun tertuduh membayar denda terbabit.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Rekhraj Singh manakala tertuduh diwakili peguam dari Nohin & Partners.