Wanita didakwa tipu rakan sekerja pelaburan emas RM61,050

Seorang pembantu perawatan kesihatan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Rabu atas 16 pertuduhan menipu dan memperdaya melalui tawaran pelaburan emas tidak wujud kepada seorang wanita.
Seorang pembantu perawatan kesihatan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Rabu atas 16 pertuduhan menipu dan memperdaya melalui tawaran pelaburan emas tidak wujud kepada seorang wanita.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pembantu perawatan kesihatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 16 pertuduhan menipu dan memperdaya melalui tawaran pelaburan emas tidak wujud kepada seorang wanita membabitkan kerugian RM61,050 antara 25 November hingga 21 Disember tahun lalu.

Tertuduh, Nurfatin Natasha Abdullah, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu rakan sekerjanya, Aida Masirah Mohd Salleh, 51, dengan cara memperdayakan mangsa melalui tawaran pelaburan emas yang tidak wujud dan dengan curangnya mendorong mangsa untuk membuat transaksi pindahan wang antara RM500 hingga RM20,000 ke dua akaun bank.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Perbuatan itu dilakukan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini, antara 25 November sehingga 21 Disember 2021.

Terdahulu, Nurul Hanini tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana kes berkenaan serius dan membabitkan penipuan.

Tertuduh memohon supaya dibenarkan diikat jamin dengan kadar minimum.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000 iaitu masing-masing RM3,000 bagi pertuduhan nombor kes satu hingga lima dan RM1,000 bagi nombor kes terakhir.

Mahkamah juga menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jumlah jaminan berkenaan.