Penggiat seni perlu lebih peka hasilkan produk: Mufti

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Penggiat seni di negara ini perlu lebih peka menghasilkan produk yang sesuai dengan adab dan budaya ketimuran yang masih dijunjung tinggi oleh majoriti masyarakat.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, majoriti rakyat negara ini masih berpegang kepada akhlak murni.

Menurutnya, kelakuan tidak senonoh yang ditonjolkan melalui hasil seni untuk tatapan umum tidak boleh diterima di negara ini.

"Saya amat berharap penggiat seni beralih daripada berpegang kepada konsep 'seni untuk seni' kepada konsep yang lebih murni iaitu 'seni untuk masyarakat kerana ALLAH' seperti yang pernah disarankan oleh Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Shahnon Ahmad satu ketika dalulu," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Dr Wan Salim memberitahu, pandangan sesetengah pihak bahawa golongan agamawan tidak sepatutnya mengambil kisah mengenai aktiviti seni tidak tepat.

"Ada yang berpendapat bahawa mufti, ustaz dan pendakwah perlu menumpukan perhatian kepada tugas hakiki berkaitan kerjaya masing-masing sahaja.

"Biarlah bidang seni dicorakkan oleh ahli-ahlinya sendiri, tak perlu orang lain masuk campur atau memandai-mandai memberi pandangan dan komen mengenai aktiviti seni," katanya.

Jelasnya lagi, golongan agamawan merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat yang turut terkesan dengan kejadian dalam masyarakat termasuk aktiviti seni melalui pelbagai saluran media.

Beliau turut memberi contoh seorang pelakon lelaki terkenal yang memuat naik klip video aksi panasnya bersama pelakon wanita di Instagram.

"Golongan agamawan berhak memberi maklum balas terhadap persembahan tersebut.

"Begitu juga satu klip video yang dimuat naik oleh seorang usahawan yang memaparkan beberapa penari lelaki berperwatakan lembut serta bersolek ala wanita," katanya.

Tambah beliau, orang ramai berhak menyatakan perasaan mereka mengenai aksi yang tidak sesuai dengan adab dan budaya ketimuran di negara ini.

Sebelum ini, video muzik yang dikeluarkan sempena Hari raya Aidilfitri oleh usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri menerima kecaman pelbagai pihak berikutan memaparkan penari lelaki yang berperwatakan wanita.

Selain itu, netizen turut mengecam pelakon Zul Ariffin yang memuat naik klip sebuah drama di Instagramnya yang dianggap keterlaluan.

Bagaimanapun, pelakon berkenaan membuat permohonan maaf beberapa hari selepas itu.